Azmin mudah tersinggung, kisah Si Kitul bukan ditujukan kepadanya
Presiden PKR, Anwar Ibrahim, hari ini menegaskan beliau tidak berniat menyinggung Azmin Ali ketika memetik kisah Si Kitul dan Raja Mendeliar dalam ucapan dasarnya semalam.
Kenyataan itu dibuat Anwar sehari selepas sekumpulan pemimpin dan penyokong parti yang memihak kepada Azmin Ali meninggalkan dewan semasa ucapan Anwar sedang disampaikan.
“Saya ditegur sebab cerita Si Kitul. Saya tak ada niat nak singgung siapa-siapa.
“(Melaka) runtuh sebab itu fakta sejarah, bukan nak singgung siapa-siapa.
"Ini fakta sejarah, Melaka yang gagah ni runtuh kerana dua sebab - pemerintahan akibat cemburu hasad dengi, dan khianat. Itu kenyataan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional Tahunan PKR ke-20 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh, Melaka hari ini.
Kumpulan penyokong Azmin Ali berkata ucapan Anwar mengenai kisah si Kitul dan Raja Mendeliar telah membuka laluan kepada para pembahas lain untuk melancarkan serangan peribadi terhadap Azmin.
Menurut Anwar para perwakilan dan pembahas memang sudah diberikan panduan untuk tidak menyerang mana-mana pihak dalam perbasanan. Namun ujarnya pihaknya tidak boleh mengawal satu persatu kandungan yang akan disampaikan pembahas.
“Kita kena faham, tak boleh paksa semua pembahas ikut skrip kita tulis. Kalau tak, kongres akan datang kita bagi kertas suruh mereka baca saja,” katanya.
Untuk rekod semasa Azmin dan kumpulannya melangkah keluar meningalkan kongres semalam, hanya dua daripada 10 pembahas yang sempat selesai berucap.
Setelah berlaku kejadian boikot itu, pembahas yang menyokong Anwar pula menggunakan pentas yang ada untuk menyasarkan kritikan terhadap Azmin.