Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Azmin tak kesah elaun kesemua Menteri dipotong



Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali tidak kisah elaun menteri dipotong sekiranya ada keperluan untuk berbuat demikian.

Ia sebagai respons terhadap cadangan yang dibangkitkan banyak pihak terutamanya di media sosial ketika negara berhadapan dengan cabaran ekonomi masa kini.



“Kalau perlu potong, potong. Itu tak ada masalah,” kata Azmin dalam sidang media selepas melawat lokasi kejadian tembok pecah di Bukit Antarabangsa hari ini.

Namun, tambahnya, perkara yang patut diutamakan adalah untuk menguruskan kewangan secara berhemah dan bertanggungjawab supaya  masalah ketirisan, rasuah, dan salah guna kuasa tidak berlaku.

Katanya, hal itu kerana, “pengalaman pahit sejak beberapa tahun lalu” telah memberikan kesan parah bukan sahaja kepada ekonomi negara, tetapi juga rakyat keseluruhannya.



“Sekiranya kerajaan hari ini telah meletakkan fokus untuk untuk membanteras rasuah dan amalan salah guna kuasa dan berbelanja secara berhemah, saya kira kita dapat kembali untuk menguruskan pembangunan ini dengan lebih bertanggungjawab,” katanya.

Cadangan agar elaun menteri dipotong mula timbul setelah dilaporkan bahawa pemberian "bayaran insentif perkhidmatan kritikal" (BIPK) akan dihentikan kepada doktor, jururawat, jurutera dan profesional lain yang menyertai perkhidmatan awam bermula tahun depan.

Langkah itu diumumkan pada pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 20 Disember.

Ia mengundang reaksi rakyat yang menentang langkah itu terutama di media sosial.



Ia turut menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga tidak bersetuju dengan langkah itu dan memberi cadangan agar elaun menteri dan ahli politik yang sebaliknya dipotong.

Semalam, Syed Saddiq membuat ciapan di Twitternya memaklumkan pekeliling pemberhentian elaun kritikal itu ditangguhkan dengan persetujuan perdana menteri dan akan dibawa dalam mesyuarat kabinet akan datang untuk perbincangan.




Azmin turut memaklumkan perkara sama, dan memberitahu bahawa satu keputusan akan dibuat dalam mesyuarat tersebut.

“Kita mengambil masa selama empat ke lima jam setiap hari Rabu utk membincangkan masalah-masalah seperti ini. Kita akan bincangkan dan satu keputusan akan diambil dalam mesyuarat jemaah menteri,” katanya kepada pemberita. -MalaysiaKini