Bukan Malaysia saja gagal, kontinjen negara lain pun gagal
BUKAN Malaysia sahaja gagal mencapai sasaran ditetapkan di Sukan Sea tetapi ia juga berlaku ke atas kontinjen dari negara lain berikutan beberapa faktor seperti cuaca, logistik dan mutu pengadilan yang teruk.
Justeru itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menegaskan, kontinjen negara tidak memberi alasan remeh berikutan kegagalan mencapai sasaran 70 pingat emas pada edisi kali ini.
"Saya ada bercakap dengan kontinjen lain dan mereka juga mengakui berdepan situasi sama seperti kontinjen negara.
"Malah mereka juga gagal mencapai sasaran ditetapkan. Satu-satunya negara tidak berdepan cabaran dan mencapai sasaran adalah yang memenangi 149 pingat emas (Filipina). Jadi kita harus bersikap adil mengenai perkara ini. Sekali lagi saya tegaskan setiap kontinjen berdepan masalah sama," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Eksekutif MOM hari ini.
Norza berkata, kegagalan di Filipina akan dijadikan pengajaran.
Sementara itu beliau juga menugaskan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib untuk membawa beberapa isu kepada Persekutuan Sukan Sea (SGF) seperti mempertandingkan acara sukan yang dilihat sering memihak kepada tuan rumah.
"Kami berharap hanya acara yang dapat memberi manfaat kepada atlet di Asia Tenggara beraksi di saingan lebih tinggi dipertandingkan," katanya.
Malaysia menamatkan saingan Sukan Sea kali ini dengan meraih 56 emas, 57 perak dan 71 gangsa. - Harian Metro