Bukit Aman akan siasat dakwaan Yusoff dicabul Anwar Ibrahim
Muhammad Yusoff Rawther telah membuat laporan polis dan menyerahkan akuan bersumpah (SD) yang mendakwa dia dicabul oleh bekas majikannya Anwar Ibrahim di balai polis Sentul, Kuala Lumpur lewat pagi tadi.
Menurut Yusoff, laporan itu dibuat supaya polis menyiasat dakwaannya, dan bagi mengambil tindakan undang-undang.
Menurut laporan polis itu, Yusoff membuat laporan polis kerana keselamatan dirinya mula terancam oleh pihak tertentu sebaik sahaja satu sidang media yang telah diadakan beberapa hari lepas.
Yusoff, 26, adalah bekas pegawai penyelidik Anwar. Pada Rabu lalu Yusoff membuat sidang media dan mendedahkan dirinya dicabul presiden PKR pada 2 Oktober tahun lalu.
Laporan polis dibuat setelah sejurus Anwar menafikan perkara itu dan berkata beliau pada tarikh berkenaan sedang sibuk berkempen sempena pilihan raya kecil Port Dickson yang ditandinginya.
Anwar juga berkata beliau menghadiri majlis memperingati ulang tahun kelahiran Mahatma Gandhi ke-150 di Kuala Lumpur dan kembali semula ke Port Dickson untuk memenuhi jadual kempen.
Menurut Ketua Polis Sentul, kes itu dikendalikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman.