Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Ekonomi makin malap, akhbar Suara Keadilan pula hentikan operasi



Surat khabar yang menjadi lidah rasmi PKR, Suara Keadilan mengumumkan akan menamatkan operasinya bulan ini.

Industri media, khususnya akhbar bercetak dilihat semakin malap kebelakangan ini dan bahangnya turut dirasai Suara Keadilan apabila ia mengurangkan kekerapan penerbitan kepada dwi-bulanan bermula tahun ini.



Tidak jelas nasib kakitangan yang masih bertugas. Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan yang dikongsi dalam kumpulan WhatsApp media berkata, Suara Keadilan akan berhijrah ke laman berita dalam talian.

Katanya, perkara itu telah diumumkan pada 7 Disember lalu ketika Kongres Nasional parti berkenaan.



"Seperti yang telah diumum sewaktu Kongres Nasional pada 7hb Disember selepas ucapan dasar Presiden, Suara Keadilan akan berhijrah dari akhbar bercetak ke laman berita dalam talian (digital news portal).

"Maklumat lanjut berkenaan operasi Suara Keadilan online akan diumum parti dalam masa terdekat," katanya.



Suara Keadilan merupakan sebuah akhbar politik berbahasa Melayu milik PKR yang dihadkan jualan kepada ahli parti itu saja.

Surat khabar tertua Utusan Malaysia di bawah Utusan Melayu Berhad (Utusan) sebelum ini menutup operasinya secara rasmi pada 9 Oktober lalu selepas gagal mencari penyelesaian terhadap kemelut hutang dihadapinya.



Ia kemudiannya disusuli pengecilan operasi satu lagi syarikat gergasi media iaitu Media Prima yang menyaksikan 543 kakitangan kumpulan New Straits Times Press (NSTP) terjejas.

Seramai 543 kakitangan membabitkan Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times itu bakal ditamatkan perkhidmatan pada Mac tahun depan, berikutan langkah pengurangan pekerja yang sedang dibuat Media Prima Bhd. -MalaysiaKini