Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Harga bawang merah pula naik berganda, RM12 sekilo



KANGAR: Harga bawang merah di negeri ini didapati naik tiga kali ganda sejak sebulan lalu yang didakwa kerana bekalan yang terhad di pasaran ketika ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis, Khairul Amin Talib, berkata bekalan bawang merah mula dikesan menyusut sejak dua bulan lalu, kali pertama dalam tempoh 10 tahun harga bahan itu naik mendadak di negeri ini.



Katanya, sebelum ini harga bagi sekilogram bawang merah adalah RM4, tetapi berikutan masalah berkenaan timbul, ia kini dijual pada harga RM12 sekilogram.

“Daripada 58 premis yang diperiksa sejak September lalu, 95 peratus premis sudah menaikkan harga bawang merah memandangkan bekalannya yang begitu terhad.

“Rekod terkini mencatatkan hanya tiga premis yang mempunyai bekalan bawang merah dan bekalan terus menyusut,” katanya pada sidang media selepas pemeriksaan Skim Harga Maksimum Sempena Hari Krismas di Pasar Sena.



Ditanya mengenai tindakan kawalan harga ke atas bawang merah, Khairul Amin berkata, setakat ini bahan mentah berkenaan bukan dikategorikan sebagai barangan kawalan memandangkan ia lebih digunakan di rumah dan tidak di dalam industri tertentu.

“Setakat ini kita tidak menerima aduan daripada pengguna berhubung masalah kenaikan harga bawang merah dan bekalan dijangka pulih selepas perayaan Tahun Baharu Cina, tahun hadapan,” katanya.



Sementara itu tinjauan bersama KPDNHEP di Pasar Sena mendapati bawang merah dijual secara terhad pada harga RM12 sekilogram dan kebanyakannya terputus bekalan bawang merah selain menggantikannya dengan bawang besar Pakistan yang dijual pada harga RM9 sekilogram.

Peruncit, Karuna Karan, 37, berkata dia tidak menerima bekalan bawang merah sejak hampir dua bulan lalu.



“Pembekal tidak hantar bawang merah dari India sekarang, kebanyakannya semua hantar bawang besar dari Pakistan, itupun kadang-kadang hantar bawang besar dari China yang cepat rosak dan berair,” katanya.

Pengguna, Wan Mansor Rashid, 69, berkata turut menyatakan kebimbangan apabila bekalan bawang merah begitu terhad dan dijual pada harga yang tinggi.

“Kadang-kadang beli RM5 dapat bawang merah sikit sangat, tetapi memikirkan sebab nak guna terpaksa beli juga walaupun mahal,” katanya.

-Berita Harian