KONGRES BANTAH JAWI: Pertubuhan Cina tidak peduli "amaran" Tun Mahathir
Pengerusi Jiao Zong, Ong Chiow Chuen telah dihubungi MalaysiaKini untuk mendapatkan penjelasan berhubung amaran Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa kongres membantah tulisan Jawi yang akan berlangsung di sebuah kolej di Kajang pada 28 Disember ini boleh menimbulkan pergaduhan kaum.
"Jika anda mula membuat serangan terhadap kaum lain atau melanggar perlembagaan, keputusan akhir akan menjadi kekacauan dan ketidakstabilan.
"Semua orang akan menjadi miskin, kita akan melihat rakyat Malaysia berpindah ke negara lain," ujar Mahathir
Bagaimanapun, Ong berkata beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Tun Mahathir yang disifatkannya tidak adil
"Malah, apa yang benar-benar melanggar perlembagaan dan bersifat perkauman adalah tuntutan (orang Melayu) yang terlalu banyak menggesa untuk menutup sekolah-sekolah vernakular pada masa lalu," katanya.
Mengikut kenyataan di Oriental Daily, Pengerusi Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Tan Tai King pula mengesahkan bahawa kongres itu akan diteruskan walaupun Perdana Menteri telah memberi amaran.
Bagaimanapun, beliau enggan memberi ulasan apabila ditanya adakah beliau bimbang kemungkinan akan ada tindak balas orang Melayu terhadap majlis tersebut.
Menurut Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, Pelajaran penulisan Jawi akan dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia murid darjah empat untuk sekolah vernakular bermula tahun depan, tertakluk kepada persetujuan oleh ibu bapa pelajar.
Menurut garis panduan Kementerian Pendidikan yang dikeluarkan pada 5 Disember, persatuan ibu bapa-guru (PIBG) sekolah akan mengedarkan kaji selidik kepada ibu bapa yang bertanya jika pelajaran Jawi patut diajar.
Jika sekurang-kurangnya majoriti mudah ibu bapa pelajar sekolah memilih bersetuju, maka tiga mukasurat pengenalan tulisan Jawi itu akan diajar.
Dong Zong dan Jiao Zong juga mendakwa pengajaran pengenalan tulisan Jawi ini akan meminggirkan kuasa untuk membuat keputusan di sekolah mereka sendiri.
-Tun Carlos