Lokman Adam: Semasa desak Presiden letak jawatan, Pemuda tak guna media sosial ke?
Anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam menempelak Pemuda Umno susulan gesaan dari dalam parti yang mahu dia dipecat kerana mengkritik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Krisis dalaman UMNO ini tercetus ekoran Lokman Adam mendakwa Hishammuddin Tun Hussein mengkhianati rakyat Malaysia, khususnya pengundi di Tanjung Piai yang baru sahaja memenangkan calon BN dua hari sebelum itu dengan menjadi broker kepada Tun Mahathir untuk memujuk seberapa banyak Ahli Parlimen UMNO untuk menyertai Mahathir.
"Saya ucap tahniah kepada Pergerakan Pemuda Umno Malaysia yang telah bersoladiriti atas arahan Ketua Pemuda Umno (Asyraf Wajdi Dusuki) untuk mempertahankan presiden Umno.
"Sikap ini sangat terpuji dan saya merasa bangga diatas perubahan sikap mereka yang sangat drastik.
"Saya masih ingat ketika mereka mengambil pendekatan menyerang presiden secara berjemaah sebaik sahaja presiden Umno dipilih oleh akar umbi, saya terpaksa mempertahankan presiden secara berseorangan dan menjadi mangsa pelbagai kecaman dan makian," katanya dalam kenyataan media malam ini.
Lokman membantah Zahid yang didakwa campur tangan dalam siasatan Lembaga Disiplin Umno terhadap MP Sembrong Hishammuddin Hussein.
Menurut Lokman, kritikan Pemuda Umno kepada dirinya cuma seputar isu dia menggunakan media sosial untuk menyerang presiden parti.
"Saya nak tanya satu sahaja, semasa Pemuda (Umno) desak presiden letak jawatan, sidang media itu tidak menggunakan media sosial ke?
"Kenyataan ketua-ketua Pemuda (Umno) yang desak supaya saya dipecat hari ini bukan guna media sosial juga ke?" Soalnya.
Bagaimanapun, Lokman membidas Pemuda Umno yang memberi tekanan terhadap Zahid setahun yang lalu supaya presiden parti itu bercuti sementara selesai perbicaraan berbagai kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya di mahkamah.
Lokman juga berkata serangan terhadapnya pada hari ini kerana dia menggunakan media sosial.
"Kenapa kalian boleh, tetapi saya tidak?" Soalnya.
Selain mendakwa Zahid campur tangan dalam siasatan Lembaga Disiplin terhadap Hishammuddin, Lokman membayangkan terdapat hubungan sulit dengan parti pemerintah.
"Kalau saya lapor Lembaga Disiplin atas tindakan Hishammuddin Hussein yang khianat pada parti dan membantu musuh kita Mahathir, presiden arah supaya Lembaga Disiplin hentikan siasatan.
"Bila saya lahirkan kekecewaan saya terhadap tindakan presiden yang melanggar perlembagaan parti yang secara jelas memperuntukkan kuasa kepada Lembaga Disiplin Umno untuk menyiasat sesiapa sahaja secara bebas tanpa diganggu, saya dianggap salah kerana melahirkan kekecewaan saya itu di media sosial," kata Lokman lagi.
"Samada saya dipecat atau tidak, selagi saya hidup saya akan pastikan usaha Mahathir menguasai semula UMNO ini gagal." ujar Lokman
-Tun Carlos