SHAH ALAM: Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) sebulat suara memutuskan untuk mengekalkan Mohamad Sabu sebagai presiden parti itu bagi penggal 2019-2022 walaupun tidak mendapat jumlah pemilihan yang tertinggi.
Selain Mohamad Sabu, AMANAH juga mengekalkan Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai timbalan presiden walaupun mendapat undi antara yang tercorot.
Manakala Datuk Mahfuz Omar, Datuk Seri Mujahid Yusof dan Datuk Hasanuddin Yunus pula kekal sebagai naib presiden.
Keputusan pemilihan lima jawatan tertinggi Amanah ini diumumkan oleh speaker Konvensyen Nasional Amanah 2019, Onn Jaafar.
Pada Jumaat, 822 perwakilan Amanah telah memilih 27 AJK Pimpinan Nasional. Dalam pemilihan tersebut, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad memperolehi undi tertinggi dengan 786 undi.
Setelah Mat Sabu dan Salahuddin Ayob tidak mendapat undian tertinggi, 27 AJK Pimpinan Nasional Amanah mengadakan mesyuarat khas bagi mengekalkan jawatan Mat Sabu dan Salahuddin Ayob.
Selepas empat tahun ditubuhkan, ini merupakan kali pertama Amanah mengadakan pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Nasional.