Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Mujahid mahu pendekatan lebih berhikmah terhadap Dong Zong


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof hari ini menggesa penganjuran Kongres Organisasi Cina anjuran Dong Jiao Zong, antara lain untuk membantah pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular, agar ditangguhkan.

Mujahid berkata, ia bagi memberi ruang kepada pendekatan "lebih berhikmah" seperti rundingan dan dialog berkenaan isu berkenaan.



“Eloklah dibawa bincang dan kembali ke meja rundingan. Saya menggesa pihak yang mahu meneruskan kongres ini agar menangguhkan dahulu bagi memberi ruang berdialog untuk mencari titik persetujuan bersama.

“Semua kita perlu mengambil tanggungjawab untuk mencapai kata persetujuan demi kepentingan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.



Hujung minggu ini, dua kongres mengenai pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular dijadualkan berlangsung.

Selain Kongres Organisasi Cina, satu lagi program ialah Kongres Jawi oleh sekumpulan aktivis yang dikenali sebagai Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat) yang bertujuan menyuarakan bantahan terhadap pengajaran tulisan itu yang dijangka dilaksanakan tahun depan.



Kongres Organisasi Cina diadakan pada 28 Disember (Sabtu) di Kolej Universiti New Era di Kajang, manakala Kongres Jawi diadakan pada 29 Disember (Ahad) di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Bagaimanapun Ahli Jawatankuasa Pusat Dong Zong Low Chee Chong semalam berkata, kongres itu bukanlah satu protes tetapi untuk "membincangkan mengenai topik pendidikan dan isu tulisan Jawi" dan tidak melibatkan sebarang perhimpunan oleh para peserta.



Mujahid meluahkan kehairanannya terhadap pihak yang berterusan menyuarakan bantahan terhadap isu tulisan Jawi di sekolah sehingga menjadikannya satu “masalah negara”.

“Setiap kita akan tertanya mengapakah ada pihak yang tetap berkeras untuk memanjangkan isu tulisan Jawi melalui bantahan berterusan?

“[...] Mengapakah Jawi dijadikan masalah negara?” soalnya.



Kata Mujahid, pihak tersebut sepatutnya bersikap lebih terbuka dengan menghormati sentimen memandangkan tindakan mengadakan bantahan melalui kongres akan mendapat reaksi negatif daripada pihak yang tidak bersetuju dengan mereka.

”Atas reaksi spontan yang lebih memudaratkan inilah maka satu keputusan penuh berhikmah perlu dibuat,” katanya lagi.

-MalaysiaKini