Najib menang permohonan dapatkan dokumen PetroSaudi yang diambil Xavier Justo
DATUK SERI NAJIB RAZAK menang permohonan utk mendapatkan dokumen Petrosaudi yang dahulunya didakwa dicuri oleh bekas pegawai Petrosaudi, Xavier Andre Justo.
Xavier Justo juga dilaporkan telah menerima "hadiah" dari Pengerusi The Edge Media Group Tan Kooi Ong sebanyak RM8.2 juta (AS$2 juta) pada awal Januari 2019 di atas bantuannya dalam mendedahkan dokumen PetroSaudi ini sehingga menyebabkan BN kalah pilihanraya ke 14.
Hari ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Najib memeriksa dokumen yang diserahkan Xavier Justo kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan kes 1MDB.
Bukti-bukti tersebut penting bagi membuktikan Tarek Obaid, Patrick Mahony, dan Jho Low telah berkomplot untuk mengenakan Najib. Terdapat juga bukti perbualan yang merancang bagaimana mereka mahu menipu untuk memberi laporan palsu kepada Najib.
Hakim, Collin Lawrence Sequerah memerintahkan pihak pendakwaan menyerahkan semua dokumen dalam masa tiga minggu dari sekarang.
“Pihak pembelaan boleh memeriksa dokumen itu melalui pasukan pendakwaan dalam tempoh tiga minggu dari hari ini.
“Ini kerana mahkamah mendapati terdapat asas mencukupi bahawa dokumen itu relevan dengan pemohon dan pembelaannya.
"Bahan yang dicari adalah berkaitan pertuduhan dalam perbicaraan 1MDB,” katanya.
Sri Ram kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan menyerahkan pemacu komputer (thumb drive) mengandungi 17,000 dokumen berkaitan 1MDB yang dikehendaki kepada pihak pembelaan.
Collin sehubungan itu menetapkan 7 Januari depan untuk pengurusan kes perbicaraan 1MDB dihadapi Najib.
Pada 16 Oktober lalu, Najib, 66, memfailkan notis usul dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.
Najib membuat permohonan berkaitan ketika prosiding perbicaraan kes rasuah dihadapinya membabitkan 21 pertuduhan penggubahan wang haram bernilai RM2.3 bilion.
Dalam permohonan itu, Najib memohon perintah mahkamah untuk memaksa pihak pendakwaan atau mana-mana entiti lain yang memiliki, menjaga dan mengawal dokumen diserahkan Justo kepada SPRM berkaitan usaha sama 1MDB dengan PetroSaudi International Ltd, sama ada dalam bentuk fizikal atau dimuat turun daripada peranti storan digital, untuk diperiksanya.
Najib antara lain memohon mahkamah memaksa pihak pendakwaan atau mana-mana entiti lain yang memiliki dan mengawal dokumen berkenaan untuk menyerahkannya kepada beliau.
Beliau memfailkan permohonan itu atas alasan dokumen dimohon adalah relevan dan dapat membantu pembelaan pemohon, yang mungkin sudah digugurkan atau ditahan daripada dikeluarkan yang bercanggah dengan Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.
Najib berkata, pemeriksaan atau pengeluaran dokumen itu tidak bercanggah dengan kepentingan awam dan sebaliknya jika permohonan ditolak untuk diperiksa, ia akan menafikan hak beliau untuk mendapat perbicaraan adil.
-Tun Carlos