Semalam Pakatan Harapan (PH) Sabah dilaporkan sebulat suara menolak hasrat Bersatu dan bersetuju untuk memberi laluan kepada Warisan sekali lagi untuk bertanding di PRK Kimanis.
Hubungan antara parti Bersatu dan Warisan agak tegang selepas Bersatu membuka cawangannya di Sabah pada April lalu. Warisan mengatakan ia bertentangan dengan persetujuan yang dicapai sebelum PRU ke-14.
Pada 5 Disember 2019 lalu, Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah Dr Ronald Kiandee berkata parti Bersatu layak untuk bertanding kerana Kimanis adalah antara bahagian Bersatu yang paling aktif di Sabah dengan pelbagai program "outreach" telah dilaksanakan oleh kepimpinan bahagian itu sejak Bersatu bertapak di Sabah.
Menurut Dr Ronald lagi, Bersatu antara parti komponen PH yang terbesar di Sabah, dari segi bilangan wakil rakyat, Bersatu adalah kedua terbanyak di Sabah selepas parti Warisan.
Bagi memperlihatkan kekuatan Bersatu di negeri ini khususnya di kawasan Parlimen Kimanis ujarnya, pucuk pimpinan PH harus memberi peluang kepada Bersatu bertanding di kerusi Kimanis dalam PRK kali ini.
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor juga menzahirkan hasrat itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersatu dalam pertemuan baru-baru ini.
Pada masa sama, Khairul mengakui wujud prasangka antara anggota Bersatu dan Warisan atas tanggapan Bersatu disokong bekas ketua menteri Musa Aman, tetapi perkara itu hanyalah khabar angin semata-mata.
Lanjutan dari keputusan PH Sabah meletakkan calon Warisan, Ketua Penerangan Bersatu Sabah Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata, parti itu akan membantu parti itu dalam kempen PRK Kimanis
Beliau juga menyangkal dakwaan parti itu akan membuat sabotaj terhadap Warisan dalam PRK Kimanis nanti. Walaupun begitu Khairul menambah memang sukar untuk anggota Bersatu, yang kebanyakannya bekas anggota Umno, untuk bekerjasama dengan Warisan memandangkan mereka saling bertembung dalam PRU lalu.
Pada 2 Disember lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan bekas menteri luar Anifah Aman di parlimen Kimanis pada PRU ke-14.
SPR dijangka mengumumkan tarikh PRK itu tidak lama lagi. -TC