Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Hasnita Hashim dalam surat terbuka kepada pemegang taruh hari ini berkata proses kajian yang sedang berlangsung akan menentukan status semua subsidiari bahagian yang tidak berkaitan dengan pendidikan samada mahu dikekalkan atau ditutup.
"Pada tahun ini, Mara telah menghentikan sebarang penyaluran peruntukan bagi pelaburan baru kecuali dalam bidang pendidikan.
"Susulan itu, semua anak syarikat Mara akan diletakkan di bawah pemantauan satu jawatankuasa khas yang akan melapor terus kepada Majlis Mara.
"Jawatankuasa khas ini juga akan memberi cadangan mana-mana anak syarikat yang akan dikekalkan atau sebaliknya pada tahun 2020," katanya.
Walaupun Hasnita tidak menyebutkan contoh agensi Mara yang mengalami kerugian, anak syarikatnya, Mara Digital kemungkinan akan ditutup.
Sementara itu, Hasnita berkata Mara akan terus menumpukan pelaburannya dalam bidang termasuk pembangunan modal insan untuk tenaga kerja masa depan, melalui institusi pendidikan seperti MRSM, UniKL, KUPTM, Giatmara dan lain-lain.
Dari segi keusahawanan, Hasnita berkata, Mara melaksanakan program pembangunan keusahawanan bersama usahawan-usahawan Bumiputera yang sedia mempunyai kepakaran dan kemahiran seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
"Mara akan terus memastikan masyarakat Malaysia terutamanya bumiputera akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada program-program pendidikan dan pembangunan keusahawanan yang dijalankan," katanya.
Mengulas pencapaian tahun ini, Hasnita berkata Mara mencapai sasaran apabila lebih 60 peratus kemasukan Maktab Rendah Sains Mara tahun ini adalah daripada kumpulan B40.
"Bagi pengambilan 2020, Mara telah menerima lebih daripada 100 ribu permohonan," katanya.
sumber: -MalaysiaKini