Penyokong tegar Anwar mahu peguam Tun Mahathir berambus dari PERDA
Sekumpulan penyokong Anwar Ibrahim di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini mempersoalkan tindakan peguam Haniff Khatri Abdulla mewakili seorang bekas kakitangan presiden PKR itu atas dakwaan salah laku seks yang sedang disiasat Bukit Aman.
Setiausaha Pro98 Reformis negeri Pulau Pinang, Amir Ghazali menggesa Datuk Mohamed Hanif Khatri Abdulla yangn juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), meletak jawatan sebagai pengerusi PERDA kerana terlibat mewakili Muhammed Yusoff Rawther yang mendakwa dirinya dicabul Anwar Ibrahim.
Untuk rekod, Haniff dilantik oleh Tun Mahathir menjadi Pengerusi PERDA pada awal tahun 2019. Katanya, sebagai seorang yang profesional seharusnya beliau memahami tugasan dan tanggungjawab selaku Pengerusi PERDA.
“Penglibatan beliau memberi tanggapan buruk masyarakat terhadap Tun Mahathir malah Pakatan Harapan membina persepsi buruk terhadap Tun atau dirancang oleh beliau. Oleh demikian, Pro98 menuntut dihentikan segera. Seeloknya beliau letak jawatan,’ kata Amir.
Pro ’98 Reformis Malaysia mendakwa Haniff sengaja terbabit dalam “mainan politik kotor” dengan mewakili Muhammed Yusoff Rawther yang disoal siasat polis kerana mendakwa Anwar mencabul kehormatannya tahun lalu.
“Jika Haniff tidak mahu menghentikan politik kotor ini, beliau patut meletak jawatan dalam Perda dan berambus dari Pulau Pinang,” kata jurucakap kumpulan itu, Amir Ghazali di Yayasan Aman.
Beliau berkata, Haniff sepatutnya memfokuskan pembaharuan ke atas Perda. Beliau juga mempertikaikan dakwaan Haniff yang beliau bertindak secara profesional.
“Adakah beliau ingin jawatan yang lebih besar dari pimpinannya?
“Beliau nampaknya lebih rela menggunakan kepakarannya guamannya untuk menjadi alat perkakas pimpinan tertentu.”
Amir mempersoalkan jika Haniff yang mewakili Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, diberikan peranan untuk merosakkan imej Anwar.
“Haniff perlu tanya dirinya, siapa yang diwakilinya? Beliau ialah pengerusi badan persekutuan, bolehkah beliau membuat sesuatu seperti itu?”
Haniff sebelum ini menolak teori konspirasi mengaitkan Mahathir sebagai dalang di sebalik kes Yusoff. -TC