Mufti Pahang Dr Abdul Rahman Osman berpandangan sumpah laknat yang dilakukan bekas perdana menteri Najib Razak tidak bercanggah dengan hukum syarak.
Katanya, istilah sumpah laknat (li'an) dan "mubahalah" terdapat dalam Islam, bagaimanapun dalam melaksanakannya ia harus melihat kepada situasi.
"Sebenarnya istilah itu ada dalam syarak, mubahalah istilah yang ada, tinggalnya lagi untuk mengamalkannya. Ada waktu sesuai, ada waktu tak sesuai, tetapi tidak bercanggah dengan syarak.
"Bagi orang ramai tidak sesuai (untuk sumpah laknat), kalau tidak sikit-sikit mahu bersumpah. Bagi pemimpin tertentu mungkin sesuai kalau tiada pilihan.
"Kalau negara kita mengamalkan hukum syarak mungkin boleh, tapi negara kita melaksanakan perundangan sivil, semolek-moleknya tak perlu bersumpah, tetapi kalau dah tak ada pilihan (boleh bersumpah)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Jumaat lalu, Najib melafazkan sumpah laknat di Masjid Kampung Baru bagi menafikan pembabitannya dalam pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Sumpah laknat itu dibuat selepas bekas pegawai polis, Azilah Hadri yang disabitkan bersalah membunuh Altantuya membuat dakwaan mengejutkan melalui Sumpah Berkanun (SD) dari Penjara Kajang.
Banduan yang sedang menunggu hukuman gantung itu mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada Najib (ketika kejadian merupakan timbalan perdana menter) dan rakan rapatnya, Abdul Razak Baginda.
Dalam pengakuan julung-julung kalinya itu, Azilah mendakwa dia dan pegawai polis Sirul Azhar Umar hanya mengikuti arahan “shoot to kill” (tembak mati) sebagai anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis.
Semalam, Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad berkata istilah sumpah laknat tidak ada dalam perundangan Islam kecuali membabitkan perkara mengenai "li'an".
Mufti Wilayah juga telah mencadangkan agar Jabatan Agama Islam WIlayah Persekutuan (JAWI) menghalang sumpah laknat di masjid-masjid yang berada di bawah bidangkuasa JAWI.
-MalaysiaKini