Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tian Chua kena boo ketika berucap di Kongres PKR 2019



Suasana dewan di MITC Melaka pada hari terakhir Kongres PKR menjadi kecoh apabila Naib Presiden PKR Tian Chua di boo ketika menyampaikan ucapan.

Kongres bermula tanpa kehadiran beberapa pimpinan utama termasuk Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden Zuraida Kamaruddin dan Ketua Wanita Haniza Talha.




Kehadiran Tian Chua mencuri tumpuan kerana beliau merupakan penyokong Azmin Ali.

Ketika mengambil alih pentas tengah hari ini, Tian Chua pada mulanya mendapat sorakan daripada hadirin yang menyifatkannya sebagai berjiwa besar.

Bagaimanapun, nada sorakan bertukar menjadi makian sebaik Tian Chua menyebut nama Azmin dan Zuraida.




Hadirin turut memberi reaksi sama ketika Tian Chua menyentuh soal jawatan perdana menteri. Susulan itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim yang berada di pentas dilihat berdiri dari kerusinya untuk menenangkan keadaan.

Pengerusi tetap Ahmad Kassim kemudian mengingatkan para hadirin menghormati presiden.




Terdahulu, dalam ucapannya Tian Chua mengingatkan bahawa Azmin banyak berkorban dan menaikkan imej parti ketika menjadi menteri besar Selangor.

"Ingat, tanpa usaha dan pengorbanan semua pihak (parti tidak akan berjaya). Jangan lupa mereka walaupun kita gaduh dan tak sependapat," katanya memetik beberepa nama pemimpin PKR lain termasuk Zuraida dan Naib Presiden Rafizi Ramli.




"Banyak kali tak sependapat tapi kongres ini tak boleh lupa sejarah," katanya.

Tian Chua juga berkata istilah "pengkhianat" yang digunakan beberapa perwakilan dalam perbahasan kongres semalam untuk menghentam Azmin Ali tidak sewajarnya digunakan.

"Nak sorak-sorak pengkhianat. Saya tidak takut. Untuk berdepan dan berbahas (sekali pun). Hujah lawan hujah.




"(Tetapi tidak wajar) menganggap kita pengkhianat kerana kita telah berkorban dan menyumbang selama 20 tahun untuk parti. (Hanya) kerana tak sependapat dalam beberapa perkara.

"Saya ingin tegaskan lagi, kini rakyat meneliti adakah PKR layak menjadi parti pemerintah. Kelayakan ini bukan melalui sorakan.

"Kelayakan ini harus kita lihat bagaimana kita membentuk parti yang bersatu. Parti yang boleh menjadi inklusif meskipun terdapat pelbagai pandangan," katanya.




Tian Chua juga mengingatkan bahawa isu sebenar yang dihadapi PKR bukan tentang pengganti Perdana Menteri.

Sebaliknya, isu yang perlu dibimbangi adalah apabila melihat penyokong menjadi semakin ekstrem dan fanatik yang boleh membahayakan parti.

"Mereka akan jadi lebih taksub. Itulah bahayanya bagi parti kita sebagai parti pemerintah. Ini bukan sebab Anwar. Lepas Anwar akan ada perdana menteri dan presiden lagi.




"Kalau nak jadikan parti yang akan sokong pemimpin tanpa persoalan ia terpulang kepada Anwar. Boleh anda cuba dan tenggelamkan suara saya tapi tetap saya akan bersuara pertahankan kesucian prinsip perjuangan parti," katanya.

"Saya tak perlu angkat banner untuk tunjuk kesetiaan saya, untuk tunjuk sokongan saya Anwar jadi perdana menteri," tegasnya, merujuk kepada hadirin yang bersorak sambil mengangkat plakad tertera 'Anwar PM ke-8'.