Pengumuman peletakan jawatan Dr Maszlee Malik yang menjadi bualan hangat sejak semalam tidak diketahui oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.
Menurut Salahuddin, hal itu kerana tiada sebarang perbincangan dibuat dalam kabinet mengenai peletakan jawatan ahli parlimen Simpang Renggam itu.
“Memang saya ada baca tadi yang menyatakan kemungkinan beliau akan letak jawatan tetapi dia akan buat sidang akhbar petang ini (semalam).
“Saya bangun pagi tadi bersiap terus ke Alor Setar untuk dengar taklimat daripada Mada (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) dan hanya fikir pasal Nafas (Pertubuhan Peladang Kebangsaan), masalah padi dan petani.
“Jadi, saya tak fikir langsung pasal perkara itu (peletakan jawatan Maszlee),” katanya lapor BH.
Diminta mengulas mengenai isu rombakan kabinet, Salahuddin berkata beliau menyerahkan segala keputusan mengenai hal itu kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Kalau nak diikutkan, hint (ura-ura) mengenai saya tak ada dalam kabinet pun ada. Macam-macam saya dengar.
“Keputusan untuk kekal (dalam kabinet) adalah hak mutlak Tun (Dr Mahathir), jadi kita tunggu sajalah kalau ada,” katanya.
-BH