Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Analisis PRK Kimanis: Warisan bimbang BN dapat pancing undi dengan isu PSS.



PRK KIMANIS | Penganalisis percaya Warisan mempunyai kelebihan berbanding BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Kimanis kerana mempunyai jentera, wang dan media.

Perunding Sabah berkenaan hal ehwal kerajaan dan risiko politik, Noel Meldan berkata Kimanis adalah kempen peribadi yang memaparkan personaliti tempatan terkenal, khususnya Karim dari Warisan.




Beliau berkata ini tidak seperti PRK Tanjung Piai di mana Pakatan Harapan bergantung kepada personaliti politik seperti Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan menteri persekutuan seperti Yeo Bee Yin dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Ia merupakan pertandingan pemimpin tempatan dan personaliti di Kimanis," katanya sambil menambah Shafie tidak sepatutnya membayangi calon Warisan.




Penganalisis politik bebas Esther Sinirisan Chong yang berasal dari Sabah menegaskan Umno perlu memainkan peranan seimbang kerana Muafakat Nasional dengan PAS tidak akan diterima secara meluas oleh orang bukan Islam di Sabah.

“Kadazandusun Murut (KDM) yang memeluk Islam berfikiran terbuka, dan tidak boleh menerima konservatif kerana mereka rasa mereka tidak boleh mengambil tapai atau wain beras (dengan PAS),"katanya.




Bagaimanapun, tambahnya, kerjasama BN bersama parti pembangkang berasaskan KDM seperti PBS dan Star akan mendapat sokongan pengundi dalam kalangan KDM.

Sementara kedua-dua calon berkempen dari rumah ke rumah dan melakukan tinjauan mesra (walk about) untuk meraih sokongan, BN hanya bergantung kepada ceramah kelompok di kawasan kampung dan pemimpin politik tertinggi mereka termasuk bekas perdana menteri Najib Razak, presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Mohamad Hasan.

Ia juga tidak memberi sebarang kesan kepada kedua-dua parti kerana program sedemikian hanya dihadiri penyokong parti mereka.




Kimanis merupakan kawasan pertanian dan memiliki 29,644 pengundi berdaftar, di mana 63.16 peratus adalah Bumiputera Islam, 30.67 peratus Bumiputera bukan Islam, 3.59 peratus Cina dan 2.58 peratus lain-lain kaum.

Walaupun Sabah mempunyai kira-kira 42 kumpulan etnik yang terdiri lebih daripada 200 kumpulan sub-etnik, pengundi Bumiputera terutamanya dikelaskan sebagai Bumiputera Islam dan Bumiputera bukan Islam.




Seorang petugas parti memberitahu Malaysiakini bahawa Warisan percaya mendapat anggaran 55 peratus sokongan di Kimanis. Bagaimanapun, sumber itu bimbang bahawa BN akan dapat memancing undi dengan isu PSS.

Sebaliknya, petugas Umno percaya tidak mustahil BN mendapat kemenangan dengan majoriti 2,000 undi.

Pada pilihan raya umum 2018, BN memperoleh lebih kurang 53 peratus undi Bumiputera Islam dan 38 peratus undi Bumiputera bukan Islam.




Isu PSS

Shafie Apdal dan calon Warisan, Karim Bujang menghabiskan banyak masa berkempen di Kampung Kadazandusun Murut (KDM) bagi memberi penerangan berhubung isu Pas Sementara Sabah (PSS) yang didakwa BN memberi ruang kepada pendatang asing mendapat kerakyatan.

Sebaliknya, BN cuma dilihat memainkan isu PSS yang didakwa akan memberi laluan mudah bagi pendatang meraih kewarganegaraan walaupun Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan bahawa isu itu merupakan salah faham.

Namun, ramai pengundi di Kimanis masih ragu-ragu berkenaan perlaksanaan PSS ekoran perkembangannya.




Isu kos sara hidup

Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berkata keadaan kini berubah sedikit selepas hampir dua tahun Shafie mengetuai kerajaan negeri Sabah.

Beliau berkata faktor ekonomi, termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi akan memberi kesan kepada corak pengundian Kimanis.

"Ekonomi tidak berkembang. Orang ramai di bawah mengadu bahawa gaji mereka tidak berubah sementara mereka perlu mengeluarkan lebih banyak wang untuk barangan," kata profesor Jabatan Sosio Budaya, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya itu.




Sabotaj dari BERSATU

Beliau menambah Warisan perlu memastikan perpaduan dalaman dan  mengawasi hubungannya dengan Bersatu, rakannya dalam Pakatan Harapan.

Bersatu menarik sejumlah penyertaan daripada anggota Parlimen Umno Sabah apabila ia melebarkan sayapnya ke negeri itu.

Awang Azman menegaskan terdapat kemungkinan berlaku sabotaj atau jentera di lapangan yang tidak berusaha keras untuk memenangi kerusi itu.




Jeniri dan Meldan, bagaimanapun tidak bersetuju dengan pendapat berkenaan dengan mengatakan kekalahan Warisan akan turut menjejaskan kewibawaan PH.
"Ia juga penting kepada Bersatu memastikan Warisan memenangi undi," kata Meldan, sambil menambah Pakatan Harapan memerlukan kemenangan selepas kekalahannya dalam beberapa PRK pada 2019, terutamanya di Tanjung Piai di mana BN menang dengan majoriti 15,087 undi .

Jeniri berkata 'politiking' antara Warisan dan Bersatu akan ditangguhkan sehingga PRU akan datang.

-MalaysiaKini