Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Cara pemikiran ibu bapa yang mahu anak ke Universiti adalah punca masalah pengangguran



MENURUT Menteri Sumber Manusia, banyak pihak salah maklumat berkaitan kadar pengangguran di Malaysia.

Cara pemikiran ibu bapa di malaysia yang secara umumnya mahu menghantar anak melanjutkan pelajaran ke universiti juga adalah salah satu faktor yang menyebabkan ramai graduan menganggur.

Hakikatnya peluang pekerjaan amat luas di negara ini khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).




Kementerian Sumber Manusia (KSM) sebagai pihak yang bertanggungjawab sentiasa berfikir dan bertindak bagi memastikan golongan muda Malaysia memiliki dan menguasai kemahiran kerana ia bidang yang masa hadapan selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Ikuti pandangan Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran yang berkongsi perancangan kerajaan dengan wartawan Metro Ahad, Hairulazim Mahmud dalam usaha memastikan negara mempunyai lebih ramai tenaga mahir.




Apakah status pengangguran di Malaysia ketika ini?

Sebelum itu saya ingin berkongsi dengan anda. Macam apa yang kita buat hari ini adalah luar biasa berbanding semua kementerian, setiap Selasa kita bertemu pelanggan iaitu rakyat.

Sebelum ini ada ramai pembaca akhbar tak faham apakah kita negara maju tapi kita ada pengangguran. Sebenarnya mengikut statistik yang kita ada, dari mana kita dapat statistik iaitu DOSM (Jabatan Perangkaan Malaysia). Kedua, ialah portal JobsMalaysia, sesiapa saja di Malaysia, sama ada anda berada di Kangar (Perlis) atau Tawau atau Sandakan (Sabah), anda boleh memeriksa apakah pekerjaan yang anda perlukan, contohya anda mahu jadi wartawan, anda muat naik pertanyaan kemudian portal ini akan maklumkan kepada anda di mana ada kekosongan di seluruh negara.




Semasa saya sedang bercakap dengan anda sekarang ini, ada kira-kira 750,000 kekosongan dalam pasaran pekerjaan dan angka pengangguran kita ialah 3.3 peratus, dalam bahasa ekonominya adalah, negara kita berstatus pekerjaan penuh tapi kita juga ada kerumitan dalam kalangan belia yang menganggur, ia sedikit tinggi antara 10 hingga 11 peratus, ini yang menjadi masalah dan kita sudah merayu kepada ibu bapa serta anak supaya melanjutkan pelajaran atau sekurang-kurangnya mendapatkan kemahiran yang ada dekat rumah mereka.

Jika di Kangar, cari latihan kemahiran di Kangar, kalau di Rantau (Negeri Sembilan) ada di sana, tak perlu keluar dari kawasan atau daerah. Masalahnya ialah, ramai ibu bapa kita tidak cenderung menghantar anak mendapatkan latihan kemahiran, walhal dalam Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) menunjukkan kalau mereka melanjutkan pelajaran bidang kemahiran, 96 peratus ada kerja menunggu. Bukan mereka pergi mencari kerja, anda berhenti memburu kerja, malah bukan satu tauke yang menunggu tapi dua tiga tauke menanti untuk ambil bekerja.




Jadi, momokan kononnya pengangguran di negara ini sangat tinggi tidak benar?

Terlalu banyak peluang untuk mereka, hanya dakwaan secara umum kononnya negara kita hari ini banyak pengangguran, sedangkan hal itu tidak benar. Kita ada statistik yang membuktikan sebaliknya, anda boleh lihat di portal JobsMalaysia. Anda boleh lihat sendiri, kita ada semua pelbagai galakan, saya pergi ke seluruh negara, timbalan menteri pun sama untuk menyatakan kita banyak pekerjaan untuk ditawarkan.

Kita ada masalah sekarang, masalah yang besar adalah di institusi kerajaan seperti ILP (Institut Latihan Perindustrian) apabila bidang mekatronik, elektronik, latihan dron dan kimpalan tak cukup pelajar, institusi kita bergerak di bawah keupayaan kapasiti sebenar, ironinya tiada negara lain yang ada masalah ini kecuali Malaysia.




Ini kerana, cara pemikiran ibu bapa kita secara umumnya ialah mereka mahu menghantar anak melanjutkan pelajaran ke universiti dan akhirnya berlaku penawaran serta permintaan yang tidak secocok dalam pasaran pekerjaan. Berbeza kita dahulu, ada yang belajar sastera atau undang-undang untuk menjadi peguam tapi sekarang kalau anda melanjutkan pelajaran dalam bidang ini, bukan semestinya ada peluang pekerjaan yang menunggu, keadaan sudah berubah. Jadi apakah pekerjaan yang ada sekarang iaitu pekerjaan IR 4.0 iaitu semua kerja yang saya sebut seperti dron dan kecerdasan buatan (AI). Bidang AI ini akan mengambil alih keseluruhan, itulah arena atau bidang yang kita mesti pelajari, itu pandangan kerajaan.




Kerajaan mahu bekerjasama dengan siapa supaya maklumat itu diperoleh rakyat?

Kerana itu penting untuk kerajaan bekerjasama dengan media seperti Harian Metro untuk menghebahkan maklumat ini kepada seluruh rakyat dengan lebih berkesan. Masalah kita ialah rakyat Malaysia cepat sangat menghukum pengangguran kita tinggi, ini salah siapa? Salah ibu bapa kerana ramai dalam kalangan mereka tak mahu menghantar anak mereka menjalani kemahiran.

Berbeza dengan dulu, kita sebagai anak muda buat semua kerja, apa saja kerja tapi sekarang ibu bapa tak menggalakkan kerja kemahiran kononnya gaji kecil.




Mereka kata tak perlu kerja, bapa boleh tanggung kamu. Konsep pemikiran ini mesti diubah. Kerana itu Tun (Dr Mahathir Mohamad) berkata, setiap rakyat Malaysia mesti melipatgandakan usaha mereka, kita ada peluang, kita mesti mendidik anak supaya mereka boleh berdikari, apabila mereka pergi cari makan, mereka tahu apa yang mesti dibuat, bangun pagi pergi kerja.

Anda ingat ia mudah? Ini adalah cabaran dalam industri yang mesti kita bagi tahu kepada anak. Ibu bapa mesti mengubah persepsi mereka bahawa TVET adalah pendidikan kelas kedua atau untuk mereka yang gagal melanjutkan pelajaran dalam bidang akademik di universiti awam atau kolej swasta.




Trend memilih bentuk kemahiran semakin tinggi cuma KSM mesti berikan kesedaran bahawa peluang itu ada kerana ramai yang tidak tahu akses kepada maklumat peluang. Komen?

Apa yang kita buat ialah perbincangan dengan pihak berkepentingan dan kerjasama selain kita mencuba kaedah lain contohnya kita melantik Yusri Abdul Halim atau Yusri KRU sebagai ikon atau duta pertama TVET. Tahun lalu kita ada hanya kira-kira 17,000 yang masuk ILP KSM tapi setahun lepas itu naik kepada 19,000 pelatih dan kita harap tahun ini bertambah lagi 2,000 pelatih.




Kita juga turun ke sekolah, saya ada pertemuan dengan guru, mereka hairan rupa-rupanya ada kerja seperti ini, mereka ingat ILP hanya berkaitan kemahiran dengan memerah keringat dan berpanas di bawah terik matahari semata-mata.

Kita sekarang sudah melangkah lebih lagi dengan bertemu golongan seperti guru ini kerana IR 4.0 kini di depan mata kita, suka atau tidak ia adalah revolusi dan pendekatan baharu yang mesti diterima.

Jadi bagaimana kita mahu memenangi hati golongan muda untuk ke arah itu? Iaitu antaranya dengan menjangkau mereka melalui muzik, sesuai dengan pemilihan Yusri KRU yang diharap dapat membantu kerajaan mencapai sasaran melahirkan 35 peratus pekerja mahir menjelang akhir 2020 berbanding ketika ini hanya kira-kira 28 peratus.




Selain itu, kementerian ada pendekatan berbeza?

Kita juga adakan kempen kesedaran berkaitan IR 4.0 dan kita mahu menjadikan institusi latihan kita yang terkini, moden dan canggih dengan melahirkan tenaga pakar terbaik untuk negara. Tiga tahun dulu, mana ada bidang keselamatan siber tapi sekarang ia adalah pekerjaan paling dikehendaki dalam pasaran kerana itu kita sudah mengarahkan Pembangunan Sumber Manusia Malaysia Berhad (PSMB) menyediakan insentif kepada sesiapa yang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran seperti pinjaman.

Selain itu, kita juga arahkan semua ILP supaya terus beroperasi dari jam 5.30 petang hingga 11 malam bertujuan membantu bakal pelatih meningkatkan, melatih semula dan silang kemahiran selepas waktu bekerja.




Dalam proses ini, apa sasaran kita? Singapura mempunyai tenaga mahir 55 peratus, tetapi Malaysia hanya 28 peratus. Dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, kita sasar 35 peratus dan kita harap dapat capai. Kenapa meningkatkan, melatih semula dan silang kemahiran ini amat penting? Kerana ia akan dapat meningkatkan pendapatan lumayan selain pekerja akan lebih bebas dengan mudah dapat bertukar-tukar kerja.

Inilah yang berlaku di seluruh dunia dan kita sedang lakukan ini dan menuju ke arah itu. Itu daripada satu sasaran kementerian. Kerana itu kementerian berharap dapat bekerjasama dengan media untuk merealisasikan hasrat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 7:30 AM (Harian Metro)