Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

DAP mahu Kelantan maju seperti Singapura



Setelah baru dipilih menjadi Pengerusi DAP Kelantan - Zaid Ibrahim, memilih untuk memulakan tugasnya dengan mendekati keluarga, rakan-rakan dan penduduk di kampung kelahirannya.

Dalam sesi pertemuan dan ceramah santai di pekarangan sebuah rumah di Kampung Chap, Bachok, malam tadi, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tampil memberi penjelasan umum mengenai keadaan politik negara.




Zaid berucap kepada penduduk di Kampung Chap Bachok Kelantan.

Disertai kira-kira 100 penduduk setempat, beliau antara lain banyak menyeru agar hadirin memahami keadaan politik Malaysia dan menolak politik kebencian serta anasir perkauman.

"Saya ambil tanggungjawab ini untuk memberi penjelasan kepada rakyat Kelantan apabila dapati senario politik sekarang tidak sihat.





"Yang ini anti-Cina, anti-Melayu, anti-India, politik macam ini tak sihat .Kalau negara kita terus macam ini, macam mana nak maju, macam mana kita nak tumpu kepada pembangunan dan pendidikan?

"Untuk peringkat ini eloklah saya beri penjelasan dan tempat yang paling baik adalah di kampung saya sendiri, bersama saudara-mara dan kawan-kawan di sini," katanya ketika sidang media pada program tersebut.




Bekas anggota parlimen Kota Bharu itu dilantik menjadi pengerusi protem dalam satu mesyuarat DAP Kelantan pada 10 Januari lalu, menggantikan Chua Chin Hui.

Turut dilantik ialah 16 ahli jawatankuasa penaja. Langkah itu disifatkan untuk mengukuhkan kedudukan DAP di negeri itu.




Dalam ucapannya di program itu, Zaid menjelaskan betapa senario politik negara perlu lebih terbuka dan menolak politik yang membawa perpecahan antara masyarakat.

"Sejak selepas merdeka lagi kita berbalah dalam politik, PAS dan Umno 40 tahun berbalah kemudian sekarang dah berbaik. Kalau berbalah kita orang Melayu, orang Islam yang rugi.




"Kelantan sejak sekian lama ditadbir pihak pembangkang, sejak zaman BN. Kemudian kerajaan pusat bertukar pun Kelantan tetap negeri pembangkang. Bila negeri pembangkang pembangunan kurang, duit tak masuk.

"Jadi apa untungnya kita berbalah, anti itu dan ini, yang ruginya orang Melayu," katanya.




Tambahnya, orang Kelantan khususnya perlu berubah dalam segenap aspek kehidupan termasuk pemikiran untuk membangunkan kemajuan negeri.

"Justeru saya nak minta orang Kelantan berbaik-baik dengan kerajaan pusat, yang diwakili parti-parti pelbagai kaum. Saya akan bantu, kalau apa-apa yang diperlukan saya boleh jumpa menteri untuk minta tolong mereka dengan sokongan semua.




"Selepas ini sesiapa nak dengar mengenai politik Malaysia boleh jemput ambo (saya), ambo nak jelajah bagi penjelasan di seluruh Kelantan.

"Ambo nak tengok perubahan, nak bagi Kelantan maju seperti Singapura," katanya lagi.