Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Denda RM2000 kenderaan banyak asap



PUTRAJAYA, 24 Jan. Jabatan Alam Sekitar (JAS) meningkatkan operasi bagi memeriksa pelepasan asap kenderaan bermotor yang menyebabkan pencemaran udara pada musim panas dan kering ketika ini.

Ketua Pengarahnya Norlin Jaafar dalam kenyataan hari ini berkata sejak 1 Jan lepas hingga semalam, sebanyak 53 operasi dilaksanakan di seluruh negara dan sebanyak 2,117 kenderaan telah diperiksa.

"Sebanyak 66 kompaun dan 58 notis arahan telah dikeluarkan," katanya.

Norlin berkata penguatkuasaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 itu juga dilaksanakan bersempena sambutan Tahun Baharu Cina berikutan penggunaan kenderaan yang meningkat.




Katanya kesalahan kenderaan motor yang tertakluk di bawah akta itu adalah pelepasan asap hitam, pelepasan gas pencemar dan pelepasan bunyi bising yang melebihi had yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (PPKAS).

Menurut Norlin, tindakan yang dikenakan termasuk mengeluarkan kompaun dengan nilai maksimum RM2,000 bagi setiap kesalahan.

Katanya tindakan mahkamah ke atas pemilik kenderaan akan diambil jika gagal melaksanakan bayaran kompaun tersebut dalam tempoh yang ditetapkan dengan penalti melibatkan bayaran denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya.




"Selain itu, pegawai JAS akan mengeluarkan notis Perintah Larangan yang melarang penggunaan atau pengendalian kenderaan tersebut di atas jalan raya sehingga kenderaan tersebut dibaiki dalam suatu tempoh yang ditetapkan," katanya.

Orang ramai boleh melaporkan kes-kes pencemaran kepada JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui portal e-Aduan JAS. -Bernama