INFLUENZA: Peningkatan di beberapa negeri di Semenanjung dan Sarawak, tapi terkawal
Labels:
Isu Semasa
Ketua Pengarah KKM |
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai berita-berita yang tular di kalangan pengguna media sosial di Malaysia mengenai kejadian jangkitan influenza.
Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh 31 Disember 2019 telah memaklumkan bahawa jangkitan influenza tidak termasuk di bawah senarai penyakit berjangkit yang wajib dilaporkan / notifikasi di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Namun, KKM sentiasa memantau trend aktiviti influenza dan kejadian wabak berkaitannya melalui sistem pelaporan sedia ada daripada lokasi-lokasi sentinel yang telah dikenalpasti di seluruh negara.
KKM ingin memaklumkan status satu (1) kes kematian kanak-kanak yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Baharu seperti yang dilaporkan oleh pihak media pada 13 Januari 2020.
Pesakit telah dirujuk kepada HSA daripada sebuah hospital swasta pada 10 Januari 2020 dalam keadaan yang sangat kritikal.
Beliau telah menerima bantuan pernafasan dan rawatan rapi oleh pasukan perubatan yang diketuai pakar-pakar perubatan pediatrik.
Namun keadaan pesakit semakin tenat dan beliau telah disahkan meninggal dunia pada 13 Januari 2020 jam 10.48 malam. Ujian sampel klinikal kanak-kanak ini adalah negatif bagi jangkitan influenza. Punca kematiannya masih dalam siasatan.
Pihak Kementerian juga mengambil maklum mengenai satu (1) kes kematian kanak-kanak yang dilaporkan oleh pihak media pada 12 Januari 2020 yang dikaitkan dengan influenza.
Berdasarkan laporan awal yang diterima, pesakit telah dibawa oleh ibu bapa beliau ke Jabatan Kecemasan sebuah hospital swasta di Selangor pada 11 Januari 2020 dalam keadaan yang kritikal.
Pesakit telah meninggal dunia pada 12 Januari 2020 dan siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian. KKM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua kanak-kanak terbabit.
Untuk makluman, analisa semasa bagi trend aktiviti influenza yang meliputi kadar konsultasi kes influenza like-illness (ILI) dan kadar kemasukan pesakit ke wad dengan severe acute respiratory infection (SARI) daripada lokasi-lokasi sentinel di seluruh negara menunjukkan peningkatan sejak minggu akhir Disember 2019.
Peningkatan ini dikesan di negeri Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor, Perak, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Terengganu serta Sarawak. Bilangan wabak ILI juga menunjukkan peningkatan, namun kejadian-kejadian wabak tersebut adalah dalam keadaan terkawal.
Survelan influenza makmal yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh juga menunjukkan peningkatan trend aktiviti virus influenza dalam persekitaran.
Tiada sebarang kelainan atau perubahan/mutasi pada virus influenza yang menular pada ketika ini. Aktiviti influenza ini juga adalah sama seperti aktiviti influenza yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di negara-negara tropika yang lain dalam Rantau Asia Tenggara, Asia Selatan, Amerika Tengah dan Amerika Selatan.
Secara umumnya, penyakit influenza merupakan jangkitan oleh virus influenza yang menyebabkan gejala seperti demam selesema atau flu, sakit tekak, batuk, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.
Jangkitan influenza mudah menular, terutama di tempat-tempat tumpuan orang awam seperti sekolah, asrama, institusi latihan dan kem. Kebanyakan pesakit influenza mengalami gejala ringan dan sembuh tanpa rawatan.
Walau bagaimanapun, ia boleh menyebabkan gejala yang teruk atau komplikasi jangkitan kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang menghidap penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, asma dan lain-lain.
Virus influenza disebarkan melalui udara apabila seseorang yang dijangkiti influenza bersin atau batuk. Ia juga boleh disebarkan melalui sentuhan pada permukaan-permukaan yang tercemar. Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan berikut:
i. Mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi;
ii. Kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun, atau hand sanitizer;
iii. Mengamalkan adab batuk / bersin yang baik;
iv. Tidak bergaul dengan orang yang bergejala flu; dan
v. Sentiasa mengamalkan cara hidup sihat.
Selain itu, mereka yang mempunyai gejala jangkitan influenza dinasihatkan untuk berehat di rumah dan tidak mengunjungi tempat-tempat tumpuan awam atau tidak bertemu dengan orang lain.
Sekiranya perlu bertemu dengan orang lain, pakai penutup mulut dan hidung (face mask). Pemakaian surgical mask atau 3-ply mask dengan cara yang betul adalah memadai untuk mengelakkan penularan virus.
Orang ramai dinasihatkan agar mendapat rawatan segera di fasiliti kesihatan sekiranya gejala berterusan atau bertambah teruk.
KKM sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memastikan jangkitan influenza di sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak dapat dicegah dan dikawal.
Sesi perjumpaan townhall sedang dirancang bagi memastikan kesedaran jangkitan influenza dan langkah-langkah kawalan serta pencegahan dapat diambil secara berkesan. Perkongsian maklumat antara agensi juga diperkukuhkan.
KKM juga ingin menasihati orang ramai dan pihak media agar sentiasa mendapatkan informasi terkini dan sahih mengenai situasi jangkitan influenza melalui saluran rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia.
NOOR HISHAM ABDULLAH merupakan ketua pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia.
-Bernama