Pejabat Perdana Menteri mengumumkan kadar tol baru akan bermula seawal 1 Februari ini. Lebuh raya yang terlibat ialah Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus), Lebuh Raya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuh Raya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (Elite), Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP).
Walaupun begitu, dalam satu hantaran Facebook pada 17 Januari, bekas Perdana Menteri DS Najib Razak antara lain berkata lanjutan tempoh konsesi itu, yang sebelum ini dijadual tamat pada 2038, bermakna kadar tol sebenarnya naik.
"Tol PLUS patut mansuh 18 tahun lagi, tapi ditambah 20 tahun menjadi 38 tahun...Walaupun harga tol turun 18 peratus, rakyat perlu bayar untuk tempoh 111 peratus lebih lama," katanya.
Dalam ciapan di Twitter pula, Najib berkongsi imej manifesto PH PRU ke-14 berkenaan pemansuhan tol secara berperingkat, tetapi menggantikan perkataan "hapuskan (tol)" kepada "lanjutkan".
Lim berkata PH berusaha untuk memansuhkan tol tetapi pada masa ini akan cuba mengurangkan kadarnya kepada minimum.
"Orang tanya mengapa tak mansuh saja tol? Cakap senang, tetapi jika bukan kerana 1MDB, tidak akan ada masalah.
"Kita tanggung RM150 bilion kerugian kerana 1MDB tetapi hanya dapat ambil semula RM47 bilion. Untuk mansuh konsesi tol, kita perlukan RM45 bilion. Di mana nak dapat wang apabila RM150 bilion dicuri dalam skandal 1MDB?
"Bagaimana kami boleh tahu yang (masalah) 1MDB begitu teruk, jika tidak kita tidak akan ada masalah untuk berbuat demikian," katanya lagi.
BN sudah lupa bahawa mereka tidak pernah melaksanakan dasar pengurangan kadar tol seperti yang dilaksanakan PH baru-baru ini, ketika mentadbir negara, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Lim berkata demikian ketika menjawab kritikan BN berkenaan perkara itu, yang menyaksikan kadar tol Plus dikurangkan sebanyak 18 peratus dengan lanjutan konsesi selama 20 tahun.
Sepanjang tempoh konsesi iaitu sehingga 2058, kenaikan kadar tol juga dibekukan.
Menurutnya, konsesi tol pernah dilanjutkan sebelum ini - iaitu dari 2018 kepada 2038 - tetapi tidak diiringi dengan pengurangan kadar tol.
"Sebaliknya kadar tol sama ada dikekalkan atau dinaikkan, tetapi kali ini kita kurangkan sebanyak 18 peratus sepanjang tempoh konsesi," katanya kepada pemberita setelah majlis pemberian cek RM100 kepada 660 murid sekolah rendah di Bagan, hari ini.
Katanya, langkah kerajaan untuk mengurangkan kadar tol sebanyak 18 peratus di beberapa lebuh raya bawah Plus adalah agak "signifikan".
"Jadi buat mereka yang tak pernah kurangkan kadar tol, bukan tempat mereka untuk kritik kami.
"Cermin diri sendiri. Kami harap rakyat akan faham perbezaan dasar (dulu dan sekarang," katanya yang juga setiausaha agung DAP.
Beliau juga mengingatkan yang pengurangan 18 peratus itu kekal sehingga 2058.
Bagaimanapun ia tidak terpakai kepada bas dan lori. Penjelasan lanjut mengenai perkara itu akan dibuat pada masa akan datang.
-MalaysiaKini