Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kes SRC: Semua dana digunakan untuk membantu golongan miskin



LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berhubung tuduhan Kerajaan PH yang mendakwa ada salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik SRC International Sdn Bhd (SRC) sebanyak RM42 juta, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur masuk hari ke-73 hari ini.

Semasa soaljawab, Najib memberi kenyataan kepada mahkamah bahawa kesemua dana dalam kesemua akaun Ambanknya digunakan untuk membantu golongan miskin dan juga tujuan politik.


9.19 pagi: Perbicaraan bermula.

Pasukan pendakwaan dijangka menyelesaikan pemeriksaan balas terhadap Najib hari ini.

Ketika perbicaraan semalam, DPP Sithambaram membayangkan yang dia mungkin sempat menyelesaikannya.




Hari ini masuk hari kesepuluh Sithambaran menyoal bekas perdana menteri, susulan bermulanya peringkat bela diri pada Disember lalu.

Semalam, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan Najib untuk membolehkan pakar tulisan dari Australia memeriksa ketulenan tandatangannya pada 13 dokumen utama SRC International, yang sebelum ini diserahkan sebagai eksibit kepada mahkamah.

Semalam juga, Najib dalam keterangannya berkata dia menghalang bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah daripada ke Switzerland untuk mendapatkan semula dana SRC yang dibeku berjumlah RM3.6 bilion, kerana Husni tidak menyediakan kertas kabinet untuk perkara itu.

Sesi pemeriksaan antara Sithambaram dan Najib juga menjadi panas apabila DPP itu berkata dapat mengesahkan tandatangannya menerusi salinan surat berkenaan mandat berkaitan salah satu akaun banknya, tetapi tidak boleh menentukan ketulenan tandatangan di 13 dokumen SRC.




9.25 pagi: Mahkamah diberitahu bahawa pakar tulisan dari Australia mungkin tidak dapat datang minggu depan untuk memeriksa ketulenan tandatangan Najib Razak pada 13 dokumen penting SRC International.

Peguam bekas perdana menteri, Harvinderjit Singh memberitahu hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa ini kerana masa terlalu singkat untuknya datang ke Malaysia pada tempoh itu.

Semalam, Nazlan membenarkan permohonan Najib untuk pemeriksaan oleh pakar tersebut tetapi berkata ia mesti dibuat sebelum perbicaraan bersambung pada 3 Februari - bermakna minggu depan.

"Yang Arif arahkan pemeriksaan dibuat minggu depan, tetapi kami sedang tunggu pengesahan.

"Terlalu suntuk untuknya datang minggu depan, tetapi kami akan cuba mengesahkan dengan Yang Arif lepas rehat tengah hari (hari ini)," katanya.

Harvinderjit berkata bergantung kepada pakar tersebut, pemeriksaan tandatangan boleh dibuat dua minggu depan.

Nazlan kemudian mengambil maklum perkara itu dan menunggu pengesahan pasukan pembelaan selepas rehat tengah hari nanti.



DPP V Sithambaram

9.40 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak berkata bukanlah langkah yang wajar (prudent) untuknya memeriksa sendiri dengan keluarga diraja Arab saudi berkenaan sumbangan dana mereka.

Najib berkata, ini kerana ahli perniagaan Low Taek Jho telah dilantik oleh keluarga diraja itu sebagai perantara untuk perkara itu.

Beliau berkata demikian ketika diperiksa balas oleh DPP V Sithambaram berkenaan empat sumbangan berjumlah RM2.6 bilion yang didakwa diterima daripada bekas raja Arab Saudi, Allahyarham Raja Abdullah Alsaud, antara 2011 hingga 2014.

Mahkamah juga diberitahu bahawa Najib tidak memeriksa sama ada AS$620 juta (kira-kira RM2.2 bilion) yang dikatakannya telah dipulangkan semula kepada keluarga itu pada 2013, benar-benar sampai kepada mereka.




9.45 pagi: Najib Razak memberitahu mahkamah bahawa sukar untuk pasukan pembelaan mendapatkan anggota diraja Arab Saudi untuk memberi keterangan berkenaan sumbangan dana RM2.6 bilion, yang menurutnya diterima daripada mereka secara bertahap antara 2011 hingga 2014.

Bekas perdana menteri berkata demikian ketika ditanya DPP V Sithambaram jika ada anggota keluarga diraja itu akan dipanggil ke mahkamah untuk menyokong dakwaan Najib.

Sitham: Saya katakan pada anda, sejak dari awal, anda tahu bahawa wang ini bukan datang daripada keluarga diraja (Saudi).

Najib: Saya tak setuju. Kerana sebahagian wang itu datang secara terus daripada Kementerian Kewangan Saudi.

Sitham: Malangnya, tiada anggota keluarga diraja akan datang mahkamah untuk sahkannya, benar?

Najib: Kami tidak, well, sukar untuk membuatkan mereka datang ke mahkamah.

Sitham: Saya juga kata berguna (convenient) kepada anda untuk tidak panggil mereka ke mahkamah untuk sahkan cerita anda.

Najib: Saya tak setuju.




9.55 pagi: Pihak pendakwaan mengasak Najib berkenaan kemampuannya mengenalpasti tandatangan sendiri dalam dokumen berkaitan SRC International yang dipertikai.

Ketika pemeriksaan balas, pendakwaan membangkitkan semula dua dokumen perbankan yang didakwa ditandatanganinya pada 2013, berkenaan arahan menyalurkan semula sumbangan dana, didakwa daripada keluarga diraja Arab Saudi, kembali kepada pihak itu.

Untuk rekod, dua dokumen itu, termasuk satu dokumen yang dihantar kepada pengarah urusan Ambank ketika itu Cheah Tek Kuang, adalah antara dokumen yang menjadi pertikaian pasukan pembelaan berkenaan tandatangan Najib.

Sebelum ini Najib memberitahu mahkamah bahawa dia meragui ada menandatangani dokumen tersebut, dan meminta seorang saksi pakar memeriksanya.

Bagaimanapun hari ini Najib berkata dia boleh mengenal pasti dokumen itu berdasarkan kandungannya, dan ingat pernah menurunkan tandatangannya.




Keterangan itu tidak diterima baik DPP V Sithambaram, yang kemudian membangkitkan kemampuannya dalam mengenal pasti dokumen dan tandatangannya.

Sitham: Kerana ia salinan, anda kata tak boleh sahkan tandatangan, dan hari ini anda sahkan.

Najib: Ya. Ia bergantung kepada kandunganya.

Sitham: Kandungan apa?

Najib: Kerana saya ingat ini adalah arahan saya.

Sitham: Jadi ketika Ismee (bekas pengerusi SRC Ismee Ismail) memberitahu mahkamah bahawa dia bertindak atas arahan pemegang saham untuk mengadakan mesyuarat lembaga pengarah, anda fikir sebaliknya?

Najib: Ya.

Sitham: Malah minit pemegang saham (arahan) datang sebelum mesyuarat?

Najib: Ia tidak sepatutnya.

Sitham: Ia tidak sepatutnya. Tetapi minit datang sebelum itu.

Najib: Itulah yang saya pertikai.

Sitham: Saya kata bahawa anda selektif dalam mengenal pasti dokumen untuk pembelaan diri anda.

Najib: Saya tak setuju.

Antara dokumen lain yang dipertikai Najib termasuk minit pemegang saham SRC, yang memiliki tandatangannya.

Minit ini didakwa menjadi arahan untuk lembaga pengarah SRC membuat resolusi, termasuk perkara berkaitan pelaburan syarikat di luar negara.




10.06 pagi: Mengapa keluarga diraja Arab Saudi memberi sumbangan yang tak seberapa, iaitu £2,216.01 (RM11,567.57), kepada Najib, soal pendakwaan.

DPP V Sithambaram membangkitkan persoalan itu ketika pemeriksaan balas dengan bekas perdana menteri.

Dia merujuk pemindahan wang daripada Vista Equity International Partners Limited, Seychelles pada 24 Nov 2014, yang masuk ke akaun bank "880" Najib dua hari kemudian.

Pemindahan ini termasuk dalam siri transaksi ke akaun 880 Najib pada 23 Jun hingga 19 Dis 2014.

Peguam Najib bergantung kepada hujah bahawa Najib merasakan wang RM42 juta, dikatakan milik SRC, yang masuk ke akaunnya adalah derma daripada keluarga diraja Arab Saudi berjumlah RM2.6 bilion.

Ketika Sithambaram merujuk penyata bank berkenaan pemindahan itu kepada Najib, bekas perdana menteri mengesahkan wang itu memang masuk ke akaunnya.

"Ini jumlah tidak seberapa daripada keluarga diraja Saudi," kata Sithambaram.

Dia kemudian bertanya Najib jika ada menerima sumbangan daripada keluarga diraja itu, dan bekas perdana menteri menjawab ya.




10.23 pagi: DPP V Sithambaran ketika pemeriksaan balas dengan Najib Razak membangkitkan tentang tujuan "pinjaman" yang dinyatakan untuk pemindahan wang ke akaunnya, di sebalik dakwaan bahawa wang itu sebahagian daripada derma yang diterima keluarga diraja Saudi.

Dia bertanya Najib berkenaan tiga peringkat pemindahan ke akaun 880 antara 23 Jun hingga 19 Dis 2014.

Antara dokumen bank yang dirujuk Sithambaram kepada Najib ialah pemindahan £995,000 (RM5,360,065) daripada Vista Equity International Partners Limited Seychelles, ke akaun 880 Najib pada 10 Disember 2014.

Dokumen itu menyatakan tujuan pemindahan itu adalah untuk pinjaman.

Sitham: Saya katakan bahawa pinjaman ini (tujuan pemindahan seperti yang dinyatakan), dan hakikat bahawa anda (dakwa) dapat derma, sebab itu ada percanggahan ini, dan cara bagaimana dana ini masuk ke akaun anda.

Najib: Tak setuju.




10.55 pagi: Perbicaraan berhenti seketika.

11.28 pagi: Perbicaraan bersambung.

11.45 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak dalam keterangannya, berkata dia tidak pernah membuat aduan kepada AmBank berkenaan bagaimana lima akaunnya dikendalikan bukan berdasarkan arahannya.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan DPP V Sithambaram berkenaan akaun yang berakhir dengan 694, 481, 880, 906 dan 898. Akaun 694 dan 481 beroperasi antara 2011 hingga 2013, manakala tiga lagi dibuka pada 2013 dan ditutup pada Mac 2015.

Najib memberitahu mahkamah bahawa sebab dia tidak membuat aduan ketika akaun-akaun itu masih beroperasi adalah kerana dia ketika itu tidak sedar berlakunya sebarang salah laku.

"Saya tidak complain kerana saya tak tahu apa yang berlaku," katanya.




11.50 pagi: Najib Razak setuju bahawa dia memberitahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ketika siasatan badan itu, bahawa dia menandatangani satu dokumen bank membenarkan pemindahan RM27 juta ke akaunnya.

Dia berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan DPP V Sithambaram.

Sithambaram bertanya bekas perdana menteri berhubung keterangan yang diberikannya kepada SPRM, berkenaan dia menandatangani eksibit P277, iaitu arahan pemindahan tersebut.

Bagaimanapun ketika perbicaraan, Najib berkata dia tidak menandatanganinya kerana pada Disember 2014 dia bemain golf dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di Hawaii.

Sithambaram: Ketika keterangan kepada SPRM diambil, anda setuju bahawa anda sign P277?

Najib: Pada masa itu, ya.

Sithambaram kemudian berkata Najib sebenarnya boleh menghantar arahan transaksi yang ditandatanganinya menerusi emel dari Hawaii, kepada pemegang mandat akaun Nik Faisal Ariff Kamil, agar AmBank meneruskan transaksi itu.

Najib tidak setuju dengan kenyataan itu.




12.05 tengah hari: Najib Razak tidak setuju dengan cadangan pendakwaan bahawa semua dana yang disalurkan ke lima akaun Ambank miliknya, antara 2011 hingga 2015, adalah untuk manfaat peribadinya.

Bekas perdana menteri berkata ia digunakan membantu golongan miskin.

DPP V Sithambaram kemudian berkata kepada Najib bahawa perbelanjaan daripada akaun itu untuk BN, Umno dan tujuan sosial lain telah memberi manfaat secara peribadi kepada kerjaya politiknya.

"Ia untuk kesinambungan kerajaan pada masa itu," jawab Najib.

Dia juga tidak setuju dengan cadangan bahawa dana yang dikatakan daripada derma keluarga diraja Arab Saudi itu digunakan secara tidak langsung untuk membeli sokongan.

Sithambaram: Saya katakan perbelanjaan daripada apa yang dikatakan derma Arab ini membolehkan anda secara tidak langsung membeli undi daripada pengundi dan penerima dana itu.

Najib: Saya tak setuju.




12.17 tengah hari: Najib Razak dalam keterangannya tidak dapat memberikan sebab mengapa mana-mana pihak akan memindahkan RM42 juta ke sebuah akaun bank.

Ketika pemeriksaan balas, DPP V Sithambaram bertanya Najib mengapa pengarah urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) Shamsul Anwar Sulaiman tidak dimaklumkan tentang pemindahan daripada IPSB ke akaun Najib, yang merupakan sebuah akaun yang tidak diketahui maklumatnya (undisclosed account).

IPSB didakwa terlibat dalam transaksi berjumlah RM42 juta ke akaun Najib antara Disember 2014 hingga Februari 2015.

Sithambaram juga bertanya Najib mengapa ketua setiausaha sulit kanannya ketika itu, Azlin Alias tidak memberitahu bekas CEO Yayasan Rakyat 1Malaysia Ung Su Ling tentang pemilik akaun bank tersebut.

Sebelum ini Ung dalam keterangannya berkata dia terlibat dalam memberitahu Shamsul untuk memindahkan jumlah itu.

Sithambaram: Mengapa mana-mana orang akan letakkan RM42 juta dalam satu akaun?

Najib: Saya tidak tahu. Saya tak pernah luluskan (pemindahan) wang.




12.52 tengah hari: Perbicaraan berhenti untuk rehat tengah hari, dan dijangka bersambung semula pada pukul 2.30 petang.

2.46 petang: Perbicaraan bersambung selepas rehat tengah hari.