Ketua Pemuda PKR (AMK) Akmal Nasir menggesa Sekretariat Pakatan Harapan (PH) memastikan Majlis Presiden gabungan itu menetapkan tarikh pada Mei tahun ini berhubung peralihan kuasa jawatan perdana menteri.
Akmal berkata beliau menyambut baik kenyataan Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Saifuddin Abdullah bahawa gabungan itu perlu menumpukan isu mengenai manifesto pilihan raya.
Namun, katanya, persetujuan agar peralihan kuasa berlaku dalam tempoh dua tahun sejak PH menjadi kerajaan pada Mei 2018 perlu diperincikan.
"Saya percaya penetapan tarikh peralihan kuasa akan mencerminkan kesepakatan yang utuh dalam Pakatan Harapan dan seterusnya mematahkan persepsi pergolakan dalam PH yang sering dimainkan oleh pihak pembangkang.
"Maka saya sarankan Sekretariat PH agar memastikan Mesyuarat Majlis Presiden akan datang membuat ketetapan tarikh peralihan Perdana Menteri pada Mei 2020 bagi menjamin kelangsungan agenda Pakatan Harapan," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, keputusan peletakan jawatan Dr Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan dan peletakan jawatan Menteri Besar Johor, Osman Sapian sebelum ini menunjukkan pertukaran kuasa boleh berlaku dengan baik dan harmoni dalam pentadbiran PH.
Semalam Saifuddin yang juga ahli majlis pimpinan PKR pusat, berkata PH perlu memberi tumpuan kepada memenuhi janji manifesto pilihan raya, berbanding isu peralihan kuasa perdana menteri kepada Anwar.
Beliau juga menegaskan tarikh peralihan tidak dinyatakan secara muktamad untuk Anwar dilantik sebagai pengganti Mahathir, dan oleh itu persoalan tarikh yang akan ditetapkan pada Mei tidak seharusnya timbul.
Kenyataan itu hadir selepas Anggota Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa kepemimpinan PH menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada Anwar pada Mei tahun ini.
Pada 10 Dis lalu, Mahathir Mojamad yang berulang kali menegaskan beliau akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar, berkata proses itu tidak akan berlaku sebelum Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC 2020) yang akan dianjurkan Malaysia pada November tahun ini. -MalaysiaKini