KKM: Empat warga China positif koronavirus masih dalam keadaan stabil
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa sejak 10 Januari 2020 sehingga 26 Januari 2020 jam 12.00 tengah hari, jumlah kumulatif kes Patient-Under Investigation (PUI) jangkitan Novel Coronavirus (2019-nCoV) adalah 23 kes; di mana 14 adalah warganegara Malaysia, lapan warganegara China dan satu warganegara Jordan.
Daripada jumlah 23 kes PUI ini, terdapat hanya satu kes yang positif 2019-nCoV iaitu seorang lelaki warganegara China berusia 40 tahun. Sementara itu, 18 kes PUI adalah negatif (12 warganegara Malaysia, 5 warganegara China dan 1 warganegara Jordan) dan telah discaj daripada hospital. Manakala empat (4) lagi kes PUI ini (2 warganegara Malaysia dan 2 warganegara China) yang diletakkan dalam isolasi di beberapa buah hospital, keputusan makmal mereka akan diketahui dalam masa terdekat.
Sementara itu, daripada 8 orang warganegara China yang merupakan kontak langsung dengan kes positif 2019-nCoV pertama di Singapura, didapati 3 daripadanya adalah positif iaitu seorang wanita berusia 65 tahun dan dua orang kanak-kanak lelaki berusia 2 dan 11 tahun.
Terdapat 5 kes yang negatif di mana 4 orang telah pun dihantar pulang ke China manakala seorang lagi menemani anak-anak beliau di hospital.
Sementara itu, 17 orang kontak rapat kes positif keempat diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan di tempat yang disediakan sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan ke atas mereka.
Kesemua empat kes positif dalam keadaan stabil dan sedang dipantau di dalam wad isolasi di hospital-hospital KKM yang telah dikenalpasti sebagai hospital rujukan bagi 2019-nCoV.
Mengambil kira situasi semasa, KKM terus mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan wabak jangkitan penyakit Novel Coronavirus.
Kes-kes yang disyaki akan diperiksa dan dirujuk ke hospital untuk pengambilan sampel serta pemantauan perkembangan gejala kes.
Kes-kes ini dipantau sehingga tamat tempoh inkubasi virus ini iaitu sekurang-kurang 14 hari dari tarikh pendedahan atau berlepas dari negara China. Ia selari dengan Seksyen 14 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Prosedur ini dilakukan bagi memastikan pencegahan penularan serta kawalan optima penyakit ini dapat dilaksanakan. Mana-mana orang yang tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh mana-mana pegawai diberi kuasa, sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 24(a) Akta yang sama.
KKM telah bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi membantu mengesan kes-kes yang disyaki serta kes yang disahkan bagi tindakan isolasi dapat disempurnakan, demi menjaga ketenteraman dan kesihatan awam.
Dalam kejadian awal pagi 26 Januari 2020, pihak polis telah membantu pihak KKM mengesan seorang kanak-kanak yang telah dibawa keluar oleh keluarganya dari sebuah hospital di Johor tanpa kebenaran pihak hospital.
Kanak-kanak tersebut disyaki dijangkiti penyakit 2019-nCoV dan sedang dirawat di hospital terbabit. Kes telah berjaya dibawa kembali ke hospital berkenaan dan kini berada dalam keadaan stabil dan masih menunggu keputusan makmal.
KKM mengucapkan tahniah dan terima kasih atas kerjasama pihak polis ini.
KKM juga ingin menyarankan kepada orang ramai yang bercadang mengunjungi negara China agar menangguhkan perjalanan mereka kecuali untuk urusan penting yang tidak boleh dielakkan.
Orang ramai khususnya para pengembara semasa berada di negara China dan selepas pulang ke Malaysia disarankan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan berikut:
- Amalkan tahap kebersihan diri yang tinggi setiap masa seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer;
- Sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (face mask) serta hand sanitizer untuk digunakan apabila perlu semasa dalam tempoh lawatan;
- Elakkan dari mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan mana-mana individu yang bergejala semasa dalam tempoh lawatan;
- Elakkan dari melawat ke ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan semasa dalam tempoh lawatan; dan
- Elakkan dari memakan sebarang produk haiwan mentah / tidak dimasak dengan sempurna semasa dalam tempoh lawatan.
- Segera dapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk atau kesukaran bernafas dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan tersebut.
Sila maklumkan sejarah perjalanan anda kepada doktor yang merawat bagi memastikan pengesanan awal jangkitan 2019-nCoV.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini dan akan memaklumkan perkembangan terkini situasi jangkitan 2019-nCoV dari semasa ke semasa.
Orang ramai diminta untuk mendapatkan maklumat yang sahih dari pihak berkuasa dan tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu bagi mengelakkan keresahan dan kerisauan masyarakat.
Sila beri kerjasama bagi memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan dengan berkesan.
BACA: Video kehidupan penduduk di Wuhan ketika mereka dikuarantin
DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia
26 Januari 2020