KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada Ambang Tahun Baharu 2020 malam tadi sempat menyelusuri kenangan tiga dekad lalu ketika merasmikan Wawasan 2020 ketika itu.
Kata beliau, tahun 2020 ini sebenarnya agak signifikan kepadanya kerana pelancaran Wawasan 2020 juga diadakan di tempat yang sama iaitu Dataran Merdeka ketika beliau masih menjawat jawatan Perdana Menteri ke-4 dahulu.
“Tahun 2020 ini agak signifikan buat saya sebenarnya kerana hampir tiga dekad dahulu kita lancarakan Wawasan 2020. Ketika itu kita sasarkan tahun ini sebagai tahun kita mencapai status negara maju.
“Bagaimanapun kerana beberapa pendekatan yang diambil pemimpin kerajaan nombor lima (Pak Lah) dan enam (Najib Razak) , maka Wawasan 2020 itu tidak dapat dicapai pada tahun ini dan memerlukan tempoh 10 tahun lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian majlis Ambang 2020 Kuala Lumpur serta pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2020 di Dataran Merdeka sebelum detik jam 12 malam tadi.
Seramai hampir 80,000 rata-rata warga ibu kota juga membanjiri Dataran Merdeka untuk melihat pesta bunga api selain mendengar sendiri amanat Perdana Menteri.
Mahathir juga menggunakan peluang tersebut untuk mengucapkan ucapan tahun baru kepada warga kota yang hadir majlis tersebut.
“Sudah pasti kita sambut tahun baru ini dengan penuh harapan dan juga sedikit debaran. Harapan kita ialah tahun 2020 ini dapat beri kemakmuran yang lebih daripada 2019.
“Walaupun ada debaran dan sedikit kerisauan jika berlaku sesuatu di luar jangkaan yang mungkin merugi dan menyusahkan, rata-rata kita juga yakin usaha yang kita semai pada 2019 akan membuahkan hasil pada 2020.
“Kerajaan juga sedar bahawa sepanjang 2019 ada juga isu yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat. Kita akur serta peka dengan suara-suara itu.
“Usaha memajukan negara akan tetap diteruskan sebagai satu amanah buat kerajaan ketika ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette