Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Mahkamah Tinggi Syarie putuskan 5 lelaki "bersemburit" dipenjara 6 bulan dan 6 sebatan



SHAH ALAM: Lima lelaki yang terlibat dalam pesta seks songsang di sebuah apartmen dua tingkat di Bandar Baru Bangi, pada 9 November tahun lalu, dihukum penjara serta dikenakan denda dan sebatan di Mahkamah Tinggi Syarie Shah Alam.

Empat daripada mereka yang berusia antara 27 hingga 37 tahun dikenakan hukuman penjara selama enam bulan, denda RM4,800 dan enam sebatan.




Seorang lagi tertuduh yang berusia 42 tahun dan sudah berkahwin, bagaimanapun, dikenakan hukuman penjara tujuh bulan, denda RM4,900 dan enam sebatan, oleh Hakim Syarie Mohd Asri Tahir.

“Kamu dah kahwin dan ada isteri.. buat macam ini, kamu khianati keluarga kamu,” katanya.

Mohd Asri turut memerintahkan semua empat tertuduh yang bekerja sebagai penjawat awam dan swasta itu menjalani hukuman penjara tiga bulan dan empat bulan sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan terhadap mereka.




Ketika membacakan penghakimannya, Mohd Asri berkata, kesemua tertuduh ditemui bersama-sama tujuh lelaki lain termasuk tiga lelaki bukan Islam selain turut ada kondom dan bahan pelincir dalam lokasi sama.

Beliau berkata, fakta berkenaan menunjukkan persediaan untuk melakukan persetubuhan luar tabii dan bukan percubaan peringkat awal.




Katanya, perbuatan mereka bertentangan dengan ajaran Islam dan al-Quran selain menimbulkan fitnah kepada agama terutama ada lelaki bukan Islam dalam kejadian itu.

“Allah melarang perkara yang dilakukan kaum Nabi Luth itu, tambahan pula bukan saja ia dilakukan sesama orang Islam, ada juga orang bukan Islam dan ia menimbulkan fitnah,” katanya.




Pada masa sama, Mohd Asri berkata, walaupun rayuan untuk mendapatkan hukuman yang lebih ringan turut menyatakan faktor penjawat awam, perlu menanggung keluarga dan ibu bapa serta kesalahan pertama, ia bukanlah satu faktor yang sepatutnya digunakan untuk mengurangkan hukuman.

Beliau berkata, tertuduh sepatutnya memikirkan terlebih dahulu semua faktor sedemikian sebelum mereka mahu melakukan kesalahan terbabit. Justeru katanya, hukuman denda saja tidak memadai bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak melakukan perbuatan berkenaan.




Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa cuba melakukan persetubuhan dengan seorang atau lebih daripada seorang dengan mana-mana lelaki di dalam sebuah apartmen di Bandar Baru Bangi antara jam 9.30 malam, pada 9 November 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 52(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dibaca bersama Seksyen 28 enakmen sama iaitu percubaan untuk melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii.




Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5,000, atau dipenjarakan tidak lebih lapan bulan atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman berkenaan.

Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie, Atras Mohamad Zin, manakala kelima-lima tertuduh diwakili peguam Nurain Kamaruddin. -BHonline