JAKARTA - Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini berada di Indonesia dalam usaha mengukuhkan lagi kerjasama kedua-dua negara terutama dalam bidang pertahanan.
Dalam lawatan rasminya di sini hari ini, beliau mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat, Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto di Kementerian Pertahanan Indonesia.
Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam satu kenyataan berkata dalam pertemuan itu, kedua-dua menteri turut komited bagi mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan sedia ada berdasarkan kepentingan bersama, selain bekerjasama dalam membangunkan kerjasama industri pertahanan.
"Semasa mesyuarat itu, para menteri juga menyentuh mengenai kejadian penculikan baru-baru ini yang melibatkan lima orang nelayan Indonesia di perairan Tambisan, Sabah.
Kedua-dua menteri menyatakan keyakinan mereka terhadap pelaksanaan perjanjian tiga hala berkaitan keselamatan di perairan Malaysia, Filipina dan Indonesia iaitu Aturan Kerjasama Trilateral (TCA) dalam menangani ancaman keselamatan maritim di perairan yang bersempadan," kata kenyataan itu.
Pada 16 Januari lepas, lima nelayan warga Indonesia yang bekerja dengan bot nelayan Malaysia di Sabah, diculik di perairan Sabah, dipercayai angkara kumpulan Abu Sayyaf.
Mohamad menegaskan Malaysia tetap komited dan memberi jaminan terhadap kesungguhan bagi memastikan keselamatan di kawasan perairan itu.
Kedua-dua menteri juga bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana berhubung isu itu di luar Pemukiman Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM), Februari depan.
Mohamad juga menyampaikan jemputan kepada Prabowo untuk menghadiri Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Asia (DSA 2020) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC 2020) yang dijadualkan dari 20 hingga 23 April depan di Kuala Lumpur.
Esok, Mohamad dijadual menghadiri forum "Harapan Dunia Baharu Islam: Meneguhkan Hubungan Malaysia- Indonesia" yang dijadualkan berlangsung di Pondok Pesantren Asshiddiqiyah Jakarta. - Bernama