Pembangunan Bandar Malaysia oleh Kerajaan akan menyokong ekonomi Malaysia -Guan Eng
Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ekonomi Malaysia dijangka berkembang lebih pesat pada 2020 berdasarkan kepada Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) Disember 2019 yang meningkat sebanyak 0.5 mata.
Di samping itu, katanya, kerajaan juga akan memperbanyakkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan belia, graduan baharu dan wanita melalui program #MalaysiaKerja bernilai RM6.5 bilion dan pelaksanaan projek infrastruktur bernilai RM120 bilion.
Menurutnya, projek infrastruktur mega seperti pembangunan Bandar Malaysia oleh Kerajaan dengan nilai pembangunan kasar RM140 bilion akan menyokong ekonomi Malaysia.
Illustrasi Bandar Malaysia yang diilhamkan Bekas Perdana Menteri DS Najib Razak |
Selain itu, Guan Eng berkata kerajaan juga akan memberi inisiatif e-Tunai Rakyat bernilai RM450 juta yang menyediakan wang belanja percuma sebanyak RM30 seorang.
PMI sektor pembuatan Malaysia meningkat 0.5 mata kepada 50.0 mata pada Disember 2019, pada November sebanyak 49.5 mata, daripada 49.3 mata pada Oktober 2019.
Walaupun begitu, menurut Guan Eng peningkatan bacaan PMI itu menunjukkan bahawa ekonomi negara akan berkembang dengan lebih pantas dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
"PMI bukan satu-satunya petunjuk yang menunjukkan ke arah pengembangan masa depan yang lebih mampan. Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini menerbitkan petunjuk pelopor ekonomi bagi bulan Oktober 2019 yang naik 1.4 peratus kepada 120.3 mata berbanding 118.6 mata pada bulan sebelumnya.
"Ini merupakan peningkatan ketara daripada perubahan -0.4 peratus dan 0.3 peratus masing-masing pada Ogos dan September,” katanya dengan bangga.
Guan Eng berkata Trend Indeks Keyakinan Perniagaan oleh agensi penarafan tempatan, RAM, juga menyokong unjuran positif yang ditunjukkan oleh data PMI dan Jabatan Perangkaan.
Menurutnya, RAM menyatakan sentimen dalam kalangan syarikat Malaysia sedang beransur pulih apabila keyakinan korporat naik 3.2 mata kepada 56.4 untuk tempoh suku pertama ke suku kedua 2020 berbanding tempoh suku keempat 2019 ke suku pertama 2020.
Pada masa yang sama, keyakinan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana meningkat 1 mata kepada 54.2, iaitu paras tertinggi sejak indeks tersebut mula diterbitkan pada 2017.
Walaupun kenaikan mata yang hanya sedikit, tetapi menurutnya ia selari dengan unjuran Kerajaan bagi pertumbuhan ekonomi negara pada 2020. Kerajaan mengunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berkembang secara mampan pada kadar 4.7 peratus pada 2019, sebelum memecut kepada 4.8 peratus tahun ini.
"Bagi tempoh tiga suku pertama 2019, KDNK Malaysia berkembang 4.6 peratus tahun ke tahun,” kata Lim.
sumber: -Bernama