Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pengundi Kimanis belum rasai kejayaan dan kebaikan Kerajaan PH -Tun M


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menganggap kekalahan Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis semalam mungkin disebabkan pengundi di kawasan itu belum merasai kebaikan dan kejayaan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau bagaimanapun yakin lambat laun rakyat di negeri itu umumnya, akan memahami dan merasai bahawa pemerintahan kerajaan hari ini adalah lebih baik berbanding kerajaan terdahulu.




"Segala yang kita lakukan mengambil masa, macam kita buat dasar baru untuk pertanian, kita tidak boleh buat hari ini esok sudah dapat hasil, kena ambil masa," katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Makan Malam Santai 2020 Parlimen Kuala Kedah dekat Alor Setar, semasa diminta mengulas mengenai keputusan PRK itu.

PH adalah rakan sekutu Warisan di Sabah bersama sebuah lagi parti tempatan, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).




Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga pengerusi PH berkata parti itu akan melakukan 'post-mortem' bagi mengenal pasti punca sebenar kekalahan itu dan pandangan rakyat Sabah terhadap pemerintahan kerajaan.

"Ya, kita akan tentukan apa sebabnya kita kalah. Kalah lebih teruk daripada dulu. Jadi kita nak tahulah kenapa, apa yang buat rakyat Sabah kecewa dengan pemerintahan kita ini," katanya.




Katanya, parti juga perlu terus berdamping dan sentiasa dekat dengan rakyat bagi mengetahui masalah mereka dan cuba membantu menyelesaikannya.

Diminta mengulas keperluan jentera parti menerangkan dasar-dasar kerajaan susulan kekalahan PH dalam beberapa lagi PRK lain sebelum ini, Dr Mahathir mengakui ada ketika parti gagal berhubung dengan rakyat untuk menerangkan perkara itu selain menceritakan pencapaian kerajaan.




"Ya, kita dapati kadang-kadang kita tak pandai nak berhubung dengan rakyat. Nak menceritakan tentang apa yang telah kita lakukan, kejayaan yang telah kita capai,” katanya.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Keputusan pengundian semalam menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis selepas calonnya Mohamad Alamin, 48, menang dengan majoriti 2,029 undi, menewaskan pencabarnya Karim Bujang, 67, daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).

- Bernama