Rumah ibadat Syiah semakin bertambah di Selangor -MAIS
SHAH ALAM - Pengaruh ajaran syiah semakin kuat sejak akhir-akhir ini dengan pertambahan hauzah (tempat ibadat) di beberapa lokasi sekitar Selangor.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata, perkembangan itu memberi cabaran besar buat agensi-agensi agama di negeri ini bagi menangani penularan ajaran sesat tersebut dalam kalangan masyarakat.
Datuk Mohamed Khusrin Munawi |
"Menerusi pemerhatian yang dijalankan, dianggarkan terdapat berbelas hauzah ditubuhkan pengikut ajaran ini di sekitar Selangor.
"Dulu hanya ada dua tiga hauzah sekitar Gombak, Puchong dan Klang, namun kini semakin bertambah. Kalau pusat ibadat mereka dah bertambah, maksudnya jumlah pengikutnya juga turut bertambah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Majlis Penyampaian Sijil Peguam Syarie Negeri Selangor di Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah hari ini.
Menurutnya pengembangan ajaran tersebut di negeri ini didalangi gerakan pihak tertentu yang cuba menimbulkan kekeliruan masyarakat Islam.
Berikutan itu, beliau berkata, MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sentiasa melakukan pemantauan dan serbuan berhubung ajaran tersebut terutama pada hari sambutan tertentu yang diraikan pengikut aliran berkenaan.
"Kita memang ada pasukan khas di peringkat JAIS dan MAIS yang pergi ke masjid dan surau bagi memberi penerangan kepada masyarakat tentang bahayanya ajaran syiah ini.
"Syiah bila ramai dan kuat akan datangkan masalah kepada kita. Sebab itu kita kena cegah dari sekarang," katanya sewaktu menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Peguam Syarie Negeri Selangor yang berlangsung di Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah hari ini.
Mohamed Khusrin (tujuh dari kanan) merakamkan gambar bersama sewaktu Majlis Penyampaian Sijil Peguam Syarie Negeri Selangor yang berlangsung di Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah hari ini.
Mengulas mengenai program berkenaan, Mohamed Khusrin turut mengingatkan peguam syarie di negeri ini agar tidak terjebak dengan ajaran yang bertentangan dengan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.
"Peguam syarie sepatutnya berada di barisan hadapan dalam mempertahankan agama Islam supaya tidak sewenang-wenangnya dipermainkan golongan tidak bertanggungjawab.
"Dunia masa kini bukan lagi bergantung kepada kekuatan tenaga dan senjata tetapi ketinggian ilmu serta kepetahan berhujah menjadi senjata ampuh untuk mendepani ancaman halus ini," katanya.