Shafie U-Turn: Jangan salah faham, Warisan bukan benci Semenanjung
PRK KIMANIS | Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal menegaskan slogan "Sabah untuk Sabah" bukan bermaksud perasaan benci kepada Semenanjung, tetapi kebencian terhadap Umno.
Beliau yang merupakan ketua menteri Sabah itu berkata Umno dan BN telah "menyusahkan" Sabah sekian lama ketika pentabdiran mereka, menyebabkan pembangunan negeri itu terpinggir.
"Yang kasi susah orang Sabah BN, Umno, mereka kasi susah kita. Di Sabah dia (Umno) perintah berapa tahun, masih tiada air kadang-kadang...di pantai timur Sabah kadang-kadang lampu on (menyala) kadang-kadang off (tiada elektrik).
"...Kita benci Umno sebab pemerintahannya. Bila kita kata Sabah untuk Sabah bukan suruh benci orang Semenanjung," katanya ketika berkempen di Bongawan, petang ini.
Mengulas lanjut berkenaan pembangunan di Sabah, Shafie berkata negeri itu jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri di semenanjung.
"Di sabah ada sekolah tapi (bangunan) papan, di Kuala Lumpur ada sekolah tapi (daripada) simen...di Kuala Lumpur jambatan simen, kita (Sabah) punya kayu, keretapi mereka laju," katanya yang mendakwa punca jurang tersebut adalah pentadbiran BN di Sabah.
Justeru, katanya, pengundi perlu menolak BN jika ingin meneruskan kesinambungan pembangunan kerana Warisan adalah kerajaan di Sabah.
Umno mula wujud di Sabah pada awal tahun 1990-an. Untuk rekod, Shafie pernah menjadi ketua pemuda Umno pertama di negeri itu, dan jawatan terakhir yang dipegangnya ialah naib presiden.
sumber: MalaysiaKini