Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Syed Saddiq nafi berada di parti dadah awal sebelum serbuan polis



Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan dakwaan sebuah portal dalam talian bahawa dirinya berada di "parti dadah" yang menyaksikan penangkapan seorang adun dan beberapa pegawai kementerian ditahan polis.

Dalam satu kenyataan, Syed Saddiq berkata, bahawa tuduhan oleh portal Johor Press pada 17 Januari, bahawa beliau hadir semasa parti itu sebagai tidak benar dan direka untuk mencemarkan nama serta memburukkan reputasinya sebagai seorang menteri.




“Antara kandungan artikel tersebut adalah seperti ‘Menurut satu maklumat yang diterima melalui aplikasi Whats App, sebenarnya pada hari kejadian Syed Saddiq turut berada di lokasi yang sama mereka ditahan polis’ dan ‘nasib menyebelahi Syed Saddiq apabila dikatakan dia sudah pulang lebih awal sebelum serbuan dibuat oleh pihak polis.'

“Maklumat tidak benar ini juga telah ditularkan oleh pihak ketiga seperti Mynewshub.




“Saya ingin menegaskan bahawa kandungan artikel yang diterbitkan oleh Johor Press adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Malah, kata ketua Pemuda Bersatu (Armada) itu dakwaan bahawa ada cubaan “melobi projek-projek besar di Kementerian Belia dan Sukan” adalah salah dan telah menjejaskan imej baik kementerian.




“Sejak saya menjadi menteri belia dan sukan, saya ingin menekankan bahawa pencapaian KBS di dalam Public Service Corruption Ranking (PSCR) yang dikeluarkan oleh SPRM semakin cemerlang.

“KBS telah berjaya memperbaiki tangga PSCR dari lapan kementerian paling berisiko rasuah kepada tangga 16 paling kurang risiko rasuah dan salah laku,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihak beliau akan membuat laporan polis dan akan merujuk kepada tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebarkan berita tidak benar itu.




Seorang pembantu kepada menteri itu mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa laporan itu akan dibuat hari ini.

Minggu lalu adalah dilaporkan bahawa Adun Dengkil, Adhif Syan Abdullah dan pembantu politik, Ahmad Redzuan Shafi, adalah antara 17 orang yang ditahan dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Jalan Puchong pada Ahad lalu.




Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador kemudian mengesahkan air kencing 16 daripada mereka yang ditahan itu adalah positif dadah tetapi berkata ujian kedua sedang dijalankan.

Syed Saddiq kemudian berkata, pegawai kementerian belia dan sukan, yang  terbabit akan digantung tugasnya sementara menunggu siasatan polis.




Selain itu, Armada juga menggantung jawatan Adhif Syan dan Ahmad Redzuan, masing-masing sebagai ketua pemuda Selangor dan penolong setiausaha  - juga sementara menunggu siasatan polis.

Walau bagaimanapun Adhif Syan menafikan sebarang salah laku, dan mendakwa dirinya hadir untuk perbincangan dan berada di tempat dan masa yang salah.