Warisan menafikan terlibat dengan insiden kekerasan ke atas exco Pemuda Umno Papagomo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu semalam.
Mereka juga menolak budaya samseng seperti yang tular di dalam video semalam.
"Kami tidak tahu menahu berkenaan insiden tersebut sehinggalah ia ditularkan,” kata setiausaha parti Sabah itu Loretto Padua seperti yang dipetik oleh MalaysiaKini.
Menurut video kejadian, sekumpulan individu dilihat cuba menghampiri dan cuba menyerang Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris dengan marah-marah.
Pihak polis dan individu di situ memainkan peranan mengelakkan pertembungan.
Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa ada provokasi dan serangan fizikal oleh penyokong Warisan.
Jumaat lepas, Papagomo mengoyakkan gambar Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal dalam demonstrasi membantah Pas Sementara Sabah (PSS) di Kimanis.
Papagomo berada di Sabah bagi membantu calon BN, Mohamad Alamin dalam pilihan raya kecil (PRK) Kimanis, yang menyaksikan kemenangan parti pembangkang.
Dalam kenyataan hari ini, Loretto berkata Warisan tidak akan menyokong mana-mana budaya samseng kerana “itu bukan budaya kami di sini”. Dia merujuk kepada insiden mengoyakkan gambar Shafie Apdal.
"Walaupun Papagomo menunjukkan aksi samsengnya (koyak gambar Shafie Apdal) sebelum ini sehinggakan mendatangkan ketidakpuasan hati kepada pelbagai pihak, namun ini tidak bermakna kita perlu meletakkan maruah kita serendah Papagomo.
"Warisan tidak berkompromi dengan budaya samseng," kata Loretto.
Walaupun begitu, sejak semalam, tular pula video yang menunjukkan gambar Najib juga pernah dikoyak di dalam ceramah parti Warisan.
BACA: Tular pula video gambar Najib dikoyakkan dalam ceramah Warisan
Papagomo sudah membuat laporan polis semalam di Balai Polis Setapak Kuala Lumpur sejurus selepas sampai ke KLIA.
Sekarang rakyat menunggu pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya kepada samseng-samseng yang telah melakukan kekecohan di dalam Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu
-Tun Carlos