Anwar dah jumpa PM, tapi elak jawab mengenai status perubahan kerajaan
KUALA LUMPUR- Jam 12.45 tengah hari, Presiden PKR Anwar Ibrahim tiba di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya bersama isteri beliau, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut Anwar, beliau baru saja tiba dari rumah Dr Mahathir Mohamad dan pertemuan itu berlangsung dengan "sangat baik".
"Kami ada bincang beberapa perkara dan saya berpuas hati dengan pendirian beliau, bahawa kita harus mengutamakan prinsip.
"Agenda reformasi harus diteruskan, itu yang saya boleh sebut setakat ini," katanya kepada media.
Ditanya kemungkinan berlaku perubahan kerajaan, Anwar tidak menjawab soalan itu secara langsung.
Sebaliknya ahli parlimen Port Dickson itu memberitahu wartawan agar kerajaan tidak mudah tunduk kepada kehendak kumpulan tertentu.
"Kita jangan mudah tunduk kepada gerombolan yang mahu mengkhianati amanah rakyat dalam pilihan raya yg lalu.
"Saya tak boleh sebut apa (yang lain), memadai kita jelaskan setakat itu, ia adalah mesyuarat yang sangat baik," katanya.
Anwar juga menjelaskan beliau "terkesan" dengan sikap Mahathir mengenai perubahan dan keengganan tunduk kepada pihak yang mahu "merampas kuasa" tanpa menetapkan agenda perubahan.
sumber: MalaysiaKini