Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Apa motif baling batu bata dari tingkat atas flat Taman Sri Intan Ampang?



AMPANG. Penghuni di Pangsapuri Taman Seri Intan semakin dihimpit keresahan akibat kerap menerima ancaman dari individu tidak dikenali yang suka membaling objek keras dari tingkat atas kediaman mereka.

Rata-rata penghuni yang ditemui bimbang insiden yang berlarutan sejak 2012 akan meragut nyawa sekiranya tidak dihenti dan diambil tindakan segera.

Dalam kejadian hari ini saja empat buah kenderaan yang diparkir di tempat letak kereta di pangsapuri berkenaan rosak teruk akibat dibaling batu bata oleh suspek yang dipercayai orang sama.

Penduduk flat menemi wartawan




Tinjauan wartawan MalaysiaGazette dipangsapuri 13 tingkat yang mempunyai 208 unit kediaman itu mendapati, kenderaan penghuni di situ diletak dipetak letak kereta di luar bangunan yang terdedah oleh perbuatan tidak bertanggungjawab oleh individu terbabit.

Ada dalam kalangan penduduk mendakwa pernah nampak objek keras dibaling dari tingkat lapan bangunan pangsapuri namun, kelibat individu terbabit tidak dapat dikenalpasti.

Seorang mangsa, Noor Asha Mohd Imran, berkata, bukan sahaja batu, tetapi, suspek juga pernah mencampakkan peti televisyen, pasu bunga dan pelbagai lagi objek keras dengan perbuatannya itu dilakukan tanpa mengira masa.




Ujarnya perbuatan itu, keadaan itu sangat membimbangkan dan ia mengancam nyawa anak-anak kecil dan juga pelajar sekolah.

“Masalah ini dah berlaku 10 tahun dan ia terjadi banyak kali. Kami pun dah buat repot polis.

“Orang itu dia baling objek dari tempat yang tinggi dan semua sudut di bangunan ini jadi lokasi tempat dia baling objek keras itu,” katanya.

Muhammad Yusuf Aromugam pula berkata, seorang penghuni di pangsapuri berkenaan pernah koma akibat dibaling objek keras yang mengenai kepalanya.




Malah katanya, ada kejadian yang berlaku kepada kanak-kanak yang pada ketika itu sedang bermain-main di bawah bangunan pangsapuri.

“Saya pernah ternampak ada orang baling dari tingkat atas. Tapi dia baling bukan dari dekat, nasiblah kalau kena orang atau kenderaan.

“Batu itu jatuh kena sebuah kereta Persona dan adik saya juga pernah jadi mangsa. Ada juga mangsa sebelum ini cedera dikepala akibat terkena batu yang dilontar dari atas,” ujarnya.

Ramli Abdul Rahman, pula berkata, beliau tidak menyangka akan menerima nasib malang apabila kenderaannya turut terlibat dalam insiden hari ini.




Katanya, beliau yang datang dari Puchong untuk menghadiri majlis tahlil di rumah anak saudaranya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh abang iparnya.

Mangsa, Ramli Abd Rahman menunjukkan cermin keretanya yang dibaling batu oleh individu tidak bertanggungjawab di Pangsapuri Seri Intan Ampang, Selangor.

Mangsa, Ramli Abd Rahman menunjukkan cermin keretanya yang dibaling batu oleh individu tidak bertanggungjawab di Pangsapuri Seri Intan Ampang, Selangor

“Saya datang ke sini nak zaiarah anak saudara yang tinggal di tingkat sembilan flat ini. Bila saya sampai di atas tiba-tiba abang ipar saya beritahu ada kereta dah kena baling dengan batu.

“Bila saya turun bawah saya lihat cermin depan kereta saya dah pecah. Jadi, saya terus buat report polis lepas tu,” katanya yang memberitahu, pihak berkuasa itu akan menghantar pegawai untuk menyiasat kejadian tersebut esok.





Keadaan sebuah kereta yang rosak akibat terkena objek keras yang dilempar seorang penghuni misteri.

Yani Ahmad, 45, beliau dimaklumkan keretanya Proton Saga miliknya rosak dibaling batu daripada salah penghuni yang mengenalinya di flat berkenaan pada pukul 10 pagi.

Katanya, tanpa berlengah dia terus turun untuk melihat keretanya dan terkejut apabila mendapati cermin sisi kenderaan pecah serta bahagian pentu mengalami kerosakan.

Tambah beliau, ia merupakan kejadian kali kedua dialami olehnya dalam tempoh dua tahun dengan kali yang pertama, kerosakan terjadi di bahagian hadapan apabila cermin keretanya pecah.




Seorang lagi penghuni, Junainah Juahir, berkata, beliau semakin buntu kerana iinsiden tersebut bukan saja mengancam nyawa malah menyebabkan duit poketnya melayang.

Katanya, penghuni yang mempunyai kenderaan berasa tidak selamat untuk meninggalkan kenderaan masing-masing di petak yang disediakan dan jika hendak diletakkan di bahu jalan pula mereka akan disaman pihak berkuasa.

Televisyen dibaling dari tingkat atas terkena sebiji Myvi

“Kami pun dah tak tahu nak letak kereta di mana lagi. Parking tepi jalan disaman polis sebab halang laluan, tapi bila letak di di bawah flat diancam masalah pula,” katanya.

Sementara itu, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Ampang Indah, Zulkifli Sainawi berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada wakil rakyat di kawasan berkenaan.




Katanya, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin meminta supaya penyelesaian diambil bagi mengatasi masalah yang membelenggu penghuni pangsapuri berkenaan.

Ujarnya, perkara itu dilihat sangat serius dan satu tindakan segera perlu diambil dalam masa terdekat.

“Kita akan menubuhkan satu pasukan Rukun Tetangga (KRT) untuk menjaga kawasan ini. Mungkin juga flat ini akan dipasang CCTV (kamera litar tertutup).

“Untuk tubuh KRT kita perlu berjumpa dengan persatuan penduduk dan kena wujudkan satu jawatankuasa untuk mewujudkan KRT itu. Ia bergantung kepada penduduk,” ujarnya.

sumber: MalaysiaGazette