Jho Low dikatakan berada di Wuhan, KPN berharap beliau dijangkiti COVID-19
KUALA LUMPUR: Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung dakwaan Jho Low bersembunyi di bandar yang menjadi punca jangkitan novel coronovirus (COVID-19) iaitu Wuhan di wilayah Hubei, China, Abdul Hamid berkata, memang ada sumber risikan mengatakan ahli perniagaan itu berada di sana.
“Sebelum ini sumber risikan mendapati dia (Jho Low) memang aktif di Wuhan. Saya sudah minta pihak Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perhatikan sekiranya dia ‘balik’ dengan (susulan penularan) COVID-19.
“Harap-harap dia salah salah seorang yang jadi mangsa COVID-19, saya nak beritahu dia kalau dia mengidap penyakit itu, baliklah ke Malaysia kerana setakat ini Kementerian Kesihatan Malaysia adalah yang terbaik, sembilan orang sudah berjaya disembuhkan.
“Kalau dia kena (jangkitan COVID-19), minta dia balik (ke Malaysia). Kita akan beri dia satu treatment (rawatan) yang betul, yang terbaik untuk dia,” kata Abdul Hamid selepas Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Penggantian Lif di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, buat masa ini tiada sumber risikan mendapati Jho Low sudah meninggalkan Wuhan atau China.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini dilaporkan sudah menghubungi INTERPOL untuk mengeluarkan Notis Merah terhadap Jho Low yang dikehendaki berhubung siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Notis merah dikeluarkan apabila seseorang individu dikehendaki sesebuah negara untuk pendakwaan atau untuk menjalani hukuman berdasarkan waran tangkap atau keputusan mahkamah.
Video:
sumber: Berita Harian