Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menyuarakan pandangannya yang tersendiri terhadap perkembangan politik negara masa kini.
Katanya, dalam keadaan sekarang, dia teringat pada pesanan yang pernah diberikan presiden Indonesia keempat, Gus Dur- atau nama sebenarnya Abdurrahman Wahid.
“Yang lebih penting dari politik dan segalanya, adalah kemanusiaan,” kongsinya di Facebooknya.
“Dalam percaturan politik yang sedang berlaku ini, semoga pemenangnya adalah rakyat, tanah air kita Malaysia dan demokrasi."
Kerajaan PH tumbang selepas Bersatu dan 11 ahli parlimen PKR termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali meninggalkan gabungan itu.
Setelah beberapa kumpulan pemimpin politik keluar masuk ke Istana Negara semalam dan hari ini, Dr Mahathir Mohamad pula secara mengejut meletakkan jawatannya selaku perdana menteri dan pengerusi Bersatu.
Mohamad Hassan berpesan pada rakan-rakan politiknya, bahawa mempunyai cita-cita dan aspirasi politik itu wajar, selagi seseorang ahli politik itu “pandai menginsafi” batasan etika dan nilai.
“Semoga Allah SWT memelihara dan memberikan kesejukan kepada bangsa dan negara ini.
“Sesungguhnya kekuasaan penuh berada dalam ketentuan Allah SWT jua. Dialah yang memberi kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mencabut kekuasaan daripada sesiapa yang kehendaki-Nya,” kongsinya lagi.
-Tun Carlos