2 FEBRUARI, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun telah meninggal dunia dipercayai selepas tercekik buah mangga di rumahnya di Taman Limbong Jaya Idaman, Paka dekat Dungun petang hari ini.
Nur Amanda Ahmad Helmi disahkan meninggal dunia ketika diberi rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Paka pada 5.20 petang.
Mangsa dilaporkan tercekik dan mengalami sesak nafas ketika disuapkan buah mangga oleh bapanya pada 3.50 petang.
Mangsa ketika tiba di Hospital Dungun |
Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.
Menurut polis, kanak-kanak terbabit dikatakan disuapkan potongan buah terbabit oleh bapanya sebelum mangsa secara tiba-tiba mengalami sesak nafas.
Katanya, melihat keadaan anaknya itu menyebabkan bapanya yang berusia 32 tahun itu bertindak mengejarkan mangsa ke Klinik Kesihatan Paka.
Mayat kanak-kanak berkenaan kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat yang dijangkakan dilakukan pada pagi esok bagi mengenal pasti punca kematiannya.
Menurut polis, siasatan mendapati tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuh badan mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.