Agensi yang menguruskan umrah, Albayt Travel (M) Sdn Bhd (Albayt), bercadang menggunakan saluran undang-undang bagi membersihkan nama syarikat itu yang terjejas ekoran kontroversi Nur Sajat di Mekah baru-baru ini.
Menurut jurucakap syarikat terbabit, pihaknya tidak akan berdiam diri dengan perbuatan Nur Sajat - atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman - yang berpenampilan seperti wanita di Tanah Suci sewaktu menunaikan ibadah umrah.
Katanya, peguam Albayt akan mengadakan pertemuan bagi mendapatkan keterangan daripada Nur Sajat sebaik saja usahawan kosmetik dan penyanyi itu pulang ke tanah air.
“Perbuatannya itu menjejaskan nama baik syarikat kerana kami sudah beri nasihat serta arahan namun dia tetap tidak mahu ikut.
“Syarikat kami menyediakan perkhidmatan dan bukan ingin mengaut keuntungan semata-mata kerana sesiapa sahaja boleh menunaikan umrah asalkan Islam,” katanya seperti dipetik Harian Metro hari ini.
Mengulas lanjut, jurucakap Albayt berkata, sebaik rombongan Nur Sajat tiba di Mekah, mereka buat hal sendiri saja dan menggunakan nama syarikat itu hanya untuk ke sana.
“Tindakan melantik peguam ini sebagai pengajaran dan tanda kami benci dan tidak menyokong perbuatan tidak senonoh itu.
“Selain itu, sekiranya sampai ke tanah air nanti, kami juga akan menyerahkan kes ini kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan,” katanya.
Pada masa sama, katanya, peguam mereka juga sedang meneliti dan menyemak komen daripada netizen yang berunsur hasutan serta fitnah.
“Kami sedang teliti kerana komen netizen menjejaskan nama baik syarikat dan jika ada unsur fitnah, tindakan saman akan diambil sebagai pengajaran.
“Mudah-mudahan kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin dan nama baik syarikat dapat dibersihkan,” katanya yang dipetik oleh MalaysiaKini