NEGERI SEMBILAN, Presiden PKR, Anwar Ibrahim menyifatkan khabar angin berkenaan penubuhan kerajaan baru yang digelar "Pakatan Nasional" adalah satu penipuan sahaja.
Anwar juga berkata dakwaan berkenaan jumlah anggota parlimen PH yang akan menyertai kerajaan baru itu sengaja "dibesar-besarkan" dan berdasarkan pengiraan peribadi oleh pemimpin pembangkang.
"Mereka kata enam (Ahli Parlimen) Amanah (akan lompat), kita periksa, tak betul. Jadi ada unsur penipuan untuk psy-war (perang saraf) mereka.
"(Mereka juga kata) 15 dari PKR (kem Azmin), kita periksa, tak betul...Pastinya jumlah itu dibesar-besarkan," katanya ketika ditemui pemberita dalam sebuah program di Negeri Sembilan, hari ini.
Anwar juga membangkitkan soal usaha mengaitkan khabar angin itu dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad adalah satu perkara yang tidak baik.
"Ini tak baik...Perkara ini tak pernah dibangkitkan (oleh Mahathir)," katanya.
Menurut Anwar yang juga suami kepada Timbalan Perdana Menteri, jika ia dibangkitkan anggota Majlis Presiden PH akan terbuka untuk menyuarakan pandangan.
"Pelbagai isu termasuk dasar PH dan peralihan kuasa dibincangkan, jadi tak benar kalau kata pemimpin PH menikus dan tak berani bersuara," katanya lagi.
Spekulasi berkenaan penubuhan kerajaan baru itu meledak minggu lalu selepas Lokman Noor Adam, ketika itu anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, mengecam presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi kerana didakwa mahu mengikut PAS untuk bekerjasama dengan Mahathir.
Lokman dipecat daripada Umno semalam. Walaupun tiada sebarang sebab dinyatakan, ia berpunca daripada pendedahan rakaman audio tersebut.
Menurut MalaysiaKini, semalam Zahid Hamidi memberitahu mereka bahawa spekulasi berkenaan hasrat Umno untuk bekerjasama dengan Tun Mahathir hanyalah khabar angin dan langsung tidak dibincang dalam mesyuarat MT semalam.
Diminta mengulas perkara itu, Anwar hanya berkata ia sesuatu yang baik jika Zahid menafikannya.
"Ketika PRU 2018, PH memang menonjolkan Mahathir sebagai calon perdana menteri, dan calon perdana menteri berikutnya Anwar.
"Mandat rakyat atas perkara itu, jadi mereka (BN) tak boleh kata kita hijack (berkenaan rampas kuasa PM) . (Persetujuan) Itulah yang diterangkan kepada rakyat," katanya.
-Tun Carlos