Tun M ucap terima kasih kepada PAS kerana sokong beliau kekal jawatan hingga PRU15
CYBERJAYA. Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad melahirkan rasa terima kasih mengenai rancangan PAS untuk menyokongnya dan membawa usul undi percaya terhadap kepimpinan beliau ke Dewan Rakyat bulan depan.
“Saya tidak faham apa yang mereka cuba lakukan. Saya sudah pun menjadi Perdana Menteri.
“Jika mereka memberi sokongan kepada saya, terima kasihlah,” katanya selepas sesi dialog bersama Dewan Perdagangan dan Industri Perancis (CCFIM) di sini hari ini.
Sabtu lalu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, PAS akan membawa usul undi percaya bagi menyokong kepimpinan Mahathir semasa persidangan Dewan Rakyat bulan depan.
Usul tersebut adalah untuk memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri sehingga tamat penggal pada 2023.
Menurut PAS, bertujuan menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara kerana masih terdapat banyak isu yang belum selesai.
Dalam pada itu, UMNO sebagai rakan Muafakat Nasional tidak menolak kemungkinan untuk menyokong usul yang dibawa PAS itu sekiranya ia boleh memberi manfaat kepada rakyat.
Sokongan PAS dan UMNO dalam undi percaya ini dikatakan adalah untuk menghalang Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. -Tun Carlos