KUALA LUMPUR: Zuraida Kamaruddin telah memohon bercuti daripada jawatan naib presiden PKR sehingga proses tatacara lembaga disiplin terhadapnya selesai. Berita itu disampaikan oleh setiausaha politiknya Nor Hizwan Ahmad.
Di dalam sidang media di Facebook, Hizwan berkata permohonan Zuraida itu dibuat menerusi sepucuk surat yang telah dihantar ke ibu pejabat PKR dua hari lalu.
“Surat permohonan telah dihantar kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim di ibu pejabat PKR.
“Sama ada diterima atau tidak belum dimaklumkan lagi,” katanya dalam sidang media bersama beberapa pemimpin dan anggota PKR Cabang Ampang hari ini.
Hizwan bersama ahli PKR cabang Ampang |
Hizwan berkata, surat permohonan cuti itu hanya untuk jawatan Zuraida dalam parti dan bukan kedudukannya dalam kabinet.
Katanya, permohonan itu juga tidak memberi sebrang kesan atau tugas Zuraida sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
"(Tugas) Zuraida juga padat dengan aktiviti kementerian dan surat itu tidak akan menjejaskan kerja dan tanggungjawabnya dalam kementerian," katanya lagi.
Pada 18 Januari lalu, Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan diberi surat tunjuk sebab oleh Lembaga Disiplin PKR dipercayai atas insiden semasa dan selepas Kongres Nasional PKR, termasuk ucapannya memerli Presiden PKR dalam majlis makan malam yang menghimpunkan penyokong Azmin Ali pada 8 Disember lalu.
Dalam ucapan ketika majlis makan malam itu, Zuraida mendakwa Anwar cuba meyakinkannya bahawa video seks yang dikaitkan dengan Azmin adalah betul.
Beliau juga mendakwa Anwar ada memberitahunya bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memintanya agar Azmin dipecat.
Beliau menjawab surat tunjuk sebab itu pada 29 Januari lalu. Selain kepada Anwar, Nor Hizwan berkata surat itu turut dihantar kepada lembaga disiplin parti untuk meminta penangguhan terhadap sebarang tindakan disiplin terhadapnya.
Katanya, ia susulan notis yang diterima daripada Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dan setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
“Kedua-dua isi kandungan surat (notis) serupa seperti pertuduhan kepada Zuraida dalam surat tunjuk sebab oleh lembaga disiplin. Jadi lebih molek (untuk meminta penangguhan) agar tidak berlaku sebarang pertindihan dan konflik," kata Hizwan.
Apapun, kita ucapkan selamat bercuti untuk Kak Zu.
-Tun Carlos