Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Jangan sentuh ahli keluarga selepas beli barangan dapur -KKM



Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan garis panduan kepada orang ramai yang mahu keluar membeli barangan keperluan dan makanan untuk seisi rumah.

"Hanya ketua keluarga atau seorang wakil keluarga yang dibenarkan keluar untuk membeli barang keperluan harian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan," kata KKM pada kicauan di Twitter.

Menurut panduan KKM itu, sejurus kembali ke rumah setelah membeli-belah, pihak berkenaan perlu menanggalkan topeng, merendam baju dengan sabun dan terus mandi sebelum boleh bersentuhan dengan ahli keluarga lainnya.

Berikut langkah-langkah yang perlu diambil:

-Buka topeng muka, masukkan ke dalam plastik dan buang ke dalam tong sampah.
-Elakkan menyentuh, memeluk anak dan ahli keluarga.
-Pergi ke tandas buka pakaian dan rendam di dalam sabun.
-Mandi dengan sabun. Bersihkan muka, tangan dan seluruh tubuh.
-Baru bertemu keluarga.




Garis panduan itu dikeluarkan pagi ini di halaman media sosial kementerian, berikutan pengumuman kerajaan semalam bahawa hanya satu orang setiap rumah yang perlu pergi membeli makanan dan bekalan.

BACA: Penumpang bas Seremban - Sg Petani diminta tampil saringan covid-19

Ini untuk mengelakkan kesesakan di pasar raya dan mengurangkan risiko jangkitan kepada lebih ramai orang.

Kedai runcit, kedai serbaneka, pasar raya dan perkhidmatan penting lain masih dibuka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dari 18 hingga 31 Mac, tetapi rakyat Malaysia diberitahu untuk tinggal di rumah, melainkan benar-benar perlu keluar.

Seramai 1,183 orang telah dijangkiti virus itu, manakala setakat jam 1 tengah hari 22 Mac sembilan orang telah meninggal dunia. Seramai 114 pesakit pula telah pulih.

Daripada jumlah jangkitan, 714 menjadi sebahagian daripada sekelompok kes yang dikesan berhubungan dengan acara Tabligh yang diadakan di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dari 27 Feb hingga 3 Mac lalu.

Seramai 14,500 rakyat Malaysia menghadiri acara itu, kira-kira 4,000 masih belum dapat dikesan untuk pemeriksaan dan ujian kesihatan.