Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap kekayaan dimiliki Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan Mansor, selepas ia didedahkan bernilai ratusan juta ringgit semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata beliau sudah mengeluarkan arahan kepada agensi berkenaan agar siasatan tersebut dijalankan.
Untuk rekod semalam Tengku Adnan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beliau memiliki aset bernilai kira-kira RM800 juta.
"SPRM berpendapat ini adalah hal yang serius dan saya memberikan arahan agar siasatan dimulakan," kata Latheefa semasa ditemui wartawan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu beliau hadir sebagai saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak.
Menurut Latheefa, penekanan yang diberikan SPRM bukanlah mengenai pendedahan aset Tengku Adnan, sebaliknya berkaitan cara ia diperolehi.
sumber: MalaysiaKini