Latheefa Koya mengesahkan sudah meletakkan jawatan sebagai ketua ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam kenyataan medianya hari ini, Latheefa berkata beliau menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 2 Mac lalu.
"Ia keputusan saya sendiri. Spekulasi yang mengatakan saya ditekan (untuk letak jawatan) tida berasas.
"Hasrat saya adalah untuk kembali menjadi pendukung hak asasi manusia," katanya.
Tambah Latheefa, beliau bertemu dengan Muhyiddin semalam dan menjelaskan keputusannya kepada perdana menteri itu.
"Kami berbual mesra dan beliau (Muhyiddin) faham pendirian saya," katanya.
"Saya juga ambil kesempatan untuk mengucapkan semoga berjaya kepadanya dan kerajaan baru dalam memperbaiki kebajikan dan kepentingan rakyat," tambahnya.
Kata Latheefa lagi, beliau juga sudah berjumpa dan memberi taklimat kepada timbalannya, Azam Baki seta ketua-ketua jabatan SPRM bagi memastikan penyerahan tugas berjalan lancar.
Peletakan jawatan Latheefa adalah yang kedua membabitkan pegawai kanan kerajaan lantikan politik selepas Tommy Thomas meninggalkan jawatannya sebagai peguam negara pada 28 Feb lalu.
Latheefa dan Thomas dilantik ke jawatan masing-masing selepas Pakatan Harapan (PH) menang dalam PRU ke-14 pada Mei 2018.
Sepanjang perkhidmatannya, beliau dikritik kerana sering dikatakan membuat pendakwaan terpilih terhadap musuh-musuh politik kerajaan Pakatan Harapan, manakala menggugurkan kes-kes membabitkan para pemimpin parti berkenaan.
Latheefa, atau nama penuhnya Latheefa Beebi Koya pernah menjadi Ketua Biro Hal Ehwal Guaman Parti Keadilan Rakyat (PKR). Beliau juga pernah menjadi AJK Angkatan Muda Parti Rakyat Malaysia sebelum meletakkan jawatan untuk menjadi Ketua SPRM.
BACA: Latheefa Koya mahu SPRM mulakan siasatan ke atas Ku Nan
BACA: Najib terkilan dengan perletakan jawatan Latheefa Koya
sumber: MalaysiaKini