Kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam nampaknya diterima baik oleh rakyat serta pemegang taruh politik.
Susunan yang dibuat menunjukkan Muhyiddin tidak perlu mengorbankan terlalu banyak kuasa untuk memberikan kelebihan kepada musuhnya sehingga melemahkan kedudukannya.
Berpegang pada prinsip “kerajaan berintegriti”, presiden Bersatu itu masih mengikut amalan kerajaan PH sebelum ini dengan tidak memegang portfolio menteri kewangan.
Hubungan kekeluargaan dengan Menteri Kewangan
Antara 2001 hingga 2018, perdana menteri selalunya memegang portfolio kewangan. Sebaliknya, Muhyiddin melantik ketua pegawai eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz - yang bukan dari latar belakang politik - sebagai menteri kewangan yang baru.
Bagaimanapun, Tengku Zafrul bukanlah orang asing kalau melihat kepada latar belakang keluarga Muhyiddin.
Seorang penganalisis yang pernah bekerja untuk Dr Mahathir Mohamad percaya, faktor hubungan kekeluargaan yang wujud di antara Tengku Zafrul dengan Muhyiddin membolehkan ahli parlimen Pagoh itu menggunakan pengaruhnya.
Anak PM dalam syarikat Eden
Penganalisis yang tidak mahu dinamakan itu mendakwa Tengku Zafrul mempunyai kaitan dengan keluarga Muhyiddin melalui adik lelakinya, Tengku Zuhri Tengku Abdul Aziz, yang berkahwin dengan Fara Nadia Abd Rahim.
Kakak Fara Nadia, Fara Ikma, pula berkahwin dengan anak lelaki sulung Muhyiddin, iaitu Fakhri Yassin.
Untuk rekod, Tengku Zuhri merupakan anggota Umno dan pernah bertanding untuk merebut jawatan dalam exco pemuda parti itu pada 2018. Bagaimanapun dia kalah dalam pemilihan tersebut.
Kedua-dua wanita terbabit - Fara Nadia dan Fara Ikma - merupakan anak perempuan kepada ahli perniagaan, Abd Rahim Mohamad, yang menguasai Eden Inc Sdn Bhd.
Fakhri turut tersenarai sebagai ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan.
“Muhyiddin mungkin tak memegang portfolio kementerian kewangan, Tengku Zafrul pula mungkin seorang teknokrat, tapi hubungan yang wujud di antara mereka bermaksud Muhyididn boleh mempengaruhi dia (Tengku Zafrul),” katanya.
Bagaimanapun, hubungan kekeluargaan itu tidak mengurangi pengalaman lebih dua dekad Tengku Zafrul dalam sektor perbankan, malah beliau disegani dalam industri itu.
Melantik orang bukan politik turut bermakna Tengku Zafrul berkemungkinan lebih cenderung mendengar pandangan Muhyiddin berbanding dipengaruhi oleh parti-parti politik yang lain.
Kata penganalisis itu, meskipun Muhyiddin mungkin tidak mengawal kementerian kewangan secara langsung melalui portfolio berkenaan, beliau juga membubarkan kementerian hal ehwal ekonomi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Mustapa Mohamed, yang merupakan anggota Parlimen Jeli, memegang portfolio berkenaan.
Azmin turun pangkat
Dalam keadaan begitu, Muhyiddin tetap mempunyai pengaruh besar memandangkan portfolio berkenaan kini kembali diletakkan di bawah JPM.
Katanya juga, dia percaya pertukaran portfolio itu, pada asasnya adalah untuk “menurunkan taraf” Azmin Ali, dan pada masa sama membantu mengekang pengaruh anggota Parlimen Gombak itu.
Azmin semasa dalam kerajaan PH menerajui kementerian hal ehwal ekonomi, tetapi kini dipindahkan untuk mengelola kementerian perdagangan antarabangsa dan industri.
Azmin merupakan susuk penting dalam pembentukan kerajaan Perikatan Nasional kerana dialah dalang di sebalik keluarnya 10 lagi orang anggota parlimen PKR ke Bersatu.
Tanpa mereka yang 11 orang itu, pembentukan gabungan kerajaan baru sekarang tidak akan berhasil.
Bagi mendapatkan gambaran tentang penurunan pengaruh Azmin, dalam Belanjawan 2020, dianggarkan RM3.24 bilion peruntukan diberikan kepada kementerian hal ehwal ekonomi.
Sebahagian besar daripada jumlah itu - atau RM2.74 bilion - merupakan peruntukan pembangunan. Banyak projek boleh dibuat dengan wang sebanyak itu.
Secara bandingan dalam Belanjawan 2020, kementerian perdagangan antarabangsa dan industri mendapat peruntukan anggaran sebanyak RM3.24 bilion, dan daripada jumlah itu, hanya RM865 juta merupakan peruntukan pembangunan.
Ia berkadar kurang satu per tiga daripada peruntukan pembangunan untuk kementerian hal ehwal ekonomi.
Selain itu juga, peruntukan pembangunan untuk kementerian hal ehwal ekonomi lebih bersifat domestik dan bermanfaat buat ahli politik yang mahu memperkukuhkan kedudukan mereka.
Sedangkan peruntukan pembangunan dalam kementerian perdagangan antarabangsa dan industri pula lebih bersifat luaran.
Saingan Zahid juga dikekang
Turut memberikan pandangan senada, Senator Liew Chin Tong dari blok pembangkang yang menyifatkan Azmin “diturunkan pangkat”, meskipun menjadi “menteri kanan”.
“Azmin kini diturunkan pangkat kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, sedangkan di bawah PH, dia mengetuai kementerian hal ehwal ekonomi yang berkuasa.
“Saya sangat yakin Azmin sekarang kecewa setelah lebih setahun menjadi penggerak utama gerakan rampasan kuasa baru-baru ini.
"Penyokong-penyokong dia pun pasti mahu dia mendapat ganjaran yang lumayan,” katanya dalam satu kenyataan.
“Mahathirlah yang menubuhkan kementerian hal ehwal ekonomi buat Azmin untuk mengurangkan saiz dan penglibatan JPM dalam ekonomi,” tambahnya lagi.
Menurut Liew, Muhyiddin kini kelihatan mempunyai kawalan penuh terhadap peruntukan pembangunan negara.
Selain itu juga, Muhyiddin turut berjaya memastikan jawatan kementerian yang penting kekal dalam tangan menteri-menteri Bersatu, seperti kementerian dalam negeri dan kementerian pendidikan.
Bagaimanapun, penganalisis tadi berkata, kabinet baru itu bukan sahaja mengekang musuh politik Muhyiddin, tetapi juga musuh-musuh politik Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, ketika beliau tidak pun berada dalam kabinet.
Meskipun Umno turut mendapat beberapa portfolio penting, katanya, musuh utama Zahid dalam Umno mendapat portfolio yang kurang signifikan.
Contohnya, Anggota Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein, menerajui kementerian luar, yang mempunyai anggaran peruntukan RM817.8 juta.
Daripada jumlah itu, hanya RM93 juta adalah untuk peruntukan pembangunan.
Menurutnya portfolio itu secara relatifnya kecil, jika dibandingkan dengan pengalaman lalunya sebagai menteri pertahanan dan menteri dalam negeri.
“Portfolio itu turut bermakna Hishamuddin perlu selalu pergi ke luar negara, menyebabkan masanya kurang untuk politik tempatan,” katanya.
Seperti Azmin, Hishamuddin juga merupakan dalang di sebalik komplot yang bekerja mengumpulkan bilangan anggota parlimen yang mencukupi bagi menyokong kerajaan baru ketika Mahathir masih menjadi perdana menteri.
Kadang-kadang, mereka bekerja ‘di belakang’ Zahid.
Tapi keengganan Mahathir untuk bekerja dengan Umno secara keseluruhan memaksa mereka untuk menyokong Muhyiddin.
Ismail Sabri paling untung
Pemenang utama dalam Umno ialah Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, yang mempunyai anggaran peruntukan RM15.6 bilion untuk 2020, dengan RM3.08 bilion daripadanya adalah peruntukan pembangunan.
Tidak ketinggalan, Anggota Parlimen Mersing, Dr Abd Latiff Ahmad yang diletakkan di Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang mempunyai anggaran peruntukan RM8.42 bilion.
Sebanyak RM5.22 billion daripadanya merupakan peruntukan pembangunan. Kawasan luar bandar memang diketahui umum lazimnya menjadi kubu kuat Umno.
Tuan Ibrahim janggal di kementerian
Untuk PAS, takhta idaman mereka berkemungkinan besar jawatan menteri di JPM yang memegang portfolio hal ehwal agama. Tetapi, jangkaan itu tidak kesampaian apabila Muhyiddin melantik orang luar parti untuk jawatan tersebut.
Muhyiddin membawa masuk Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad untuk memegang jawatan itu.
Sebaliknya, untuk PAS, tokoh paling kanan parti, Tuan Ibrahim Tuan Man, menjadi Menteri Alam Sekitar - satu jawatan yang agak janggal untuk timbalan presiden PAS itu.
Bagaimanapun, anggota Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary dilantik sebagi timbalan Zulkifli.
Dalam usia PN yang masih muda, dan semangat muhibah yang masih kuat, parti-parti komponen berkemungkinan besar akan bertolak ansur dengan percaturan jawatan Muhyiddin.
Mahathir yang diakali Muhyiddin untuk pembentukan kerajaan PN menyifatkan perdana menteri seperti sedang “menunggang harimau”.
Dalam keadaan begitu, katanya, Muhyiddin dia tidak mempunyai pilihan melainkan terus menunggangnya meskipun tidak selesa. Jika Muhyiddin mengambil keputusan untuk turun dari belakang 'harimau' itu, dia akan dibaham.
Kebenaran kata-kata Mahathir itu belum dapat dinilai memandangkan ujian sebenar terhadap kekuatan dan kesepakatan gabungan PN hanya dapat diukur dalam tiga tahun akan datang.
Itupun, jika ia berjaya mengharungi undi tidak percaya yang dijangka berlaku apabila parlimen bersidang pada 18 Mei ini. -MalaysiaKini