Muhyiddin sedang meneliti calon-calon Barisan Kabinet Baru
Seorang pemimpin kanan Bersatu berkata jumlah kementerian untuk kerajaan Perikatan Nasional pimpinan presiden parti itu akan sama seperti sebelum ini.
"Saya rasa masih sama," kata Naib Presiden Bersatu, Abdul Rashid Asari, ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Terdahulu exco Selangor itu ditanya mengenai kemungkinan susunan kabinet Muhyiddin Yassin tidak lama lagi.
Mengulas hal itu Abdul Rashid berkata, terpulang kepada Muhyiddin untuk membuat penentuan, namun mengingatkan ahli parlimen Pagoh itu baru saja mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, iaitu pada 1 Mac lalu.
Menurut Abdul Rashid, kabinet Muhyiddin akan dibentuk selewat-lewatnya dua minggu lagi.
“Sekarang perdana menteri sedang sibuk menguruskan pentadbiran di pejabat beliau kerana baru sahaja dilantik sebagai perdana menteri," katanya.
Ditanya mengenai pelbagai versi 'barisan kabinet' yang tular melalui media sosial, Adun Selat Klang itu berkata, ia adalah palsu.
Untuk rekod, jumlah kementerian yang ada pada masa Mahathir ialah 29, termasuk Jabatan Perdana Menteri.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Pahat Mohd Rashid Hasnon berkata, ketika ini Muhyiddin sedang meneliti prestasi calon-calon untuk barisan kabinetnya.
Justeru, kata bekas anggota PKR itu, Muhyiddin memerlukan masa sedikit untuk membuat keputusan.
"Sebaiknya tunggu pengumuman rasmi barisan kabinet baru daripada beliau.
“Buat masa sekarang perdana menteri sedang giat tengok resume barisan kabinet,” katanya.
Untuk rekod, Mohd Rashid merupakan seorang daripada 11 ahli parlimen PKR yang meninggalkan parti itu dan tindakan tersebut membawa kepada jatuhnya kerajaan PH.
Mereka diketuai Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali.
sumber: MalaysiaKini