Penumpang bas Seremban - Sg Petani diminta tampil untuk saringan covid-19
Pejabat Kesihatan Daerah Kulim meminta penumpang bas ekspress Jasmine yang bertolak dari Seremban ke Sungai Petani pada 16 Mac lalu untuk menghubungi pejabat itu segera.
Walaupun tiada alasan diberikan, pejabat itu berkata ia berkaitan dengan wabak Covid-19.
Dalam hantaran Facebook hari ini, pejabat kesihatan daerah itu berkata bas dengan nombor pendaftaran PLQ9689 itu bertolak dari Seremban jam 8.30 malam, iaitu malam yang sama perintah kawalan pergerakan diumumkan tetapi masih belum berkuat kuasa.
Menurutnya, bas tersebut berhenti di Shah Alam, Ipoh, Kamunting, Bagan Serai, Parit Buntar, Nibong Tebal, Kulim dan Butterworth, sebelum akhirnya tiba di Sungai Petani.
"Mohon semua penumpang yang menaiki bas ini untuk terus hubungi Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah Kulim.
"Kerjasama anda amat kami hargai," katanya.
Sebelum ini, Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan meminta penumpang bas Plusliner dari Johor ke Kuantan untuk tampil ke pejabat berkenaan.
Bas berkenaan bertolak dari stesen Larkin Sentral di Johor Bharu ke Terminal Sentral, Kuantan juga pada malam 16 Mac.
Semua penumpang telah melaporkan diri ke pejabat kesihatan berkenaan.
Menurut Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, seorang penumpang yang disahkan positif Covid-19 menaiki bas berkenaan dan melanggar peraturan kuarantin.
Ujian tersebut mengambil masa 24 jam untuk disiapkan, dan kemudiannya didapati penumpang berkenaan dijangkiti penyakit tersebut.
BACA: Jangan sentuh ahli keluarga selepas beli barang dapur -KKM